Tiada yang kebal daripada tindakan undang-undang, termasuk keluarga saya – Saifuddin
SEPANG – Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menegaskan tiada mana-mana individu kebal daripada tindakan undang-undang termasuk ahli keluarganya sendiri.
Beliau berkata demikian ketika disoal mengenai tuduhan jenayah yang melibatkan anaknya yang tersebar di media sosial sejak beberapa hari lalu.
“Mengenai dakwaan terhadap anak saya, saya ingin menegaskan bahawa tiada sesiapa yang kebal daripada undang-undang, termasuk ahli keluarga saya.
“Saya menyerahkan sepenuhnya kepada pihak polis dan Peguam Negara untuk menjalankan siasatan secara telus dan adil,” katanya di sini hari ini.
Terdahulu beliau tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur di sini untuk mengikuti rombongan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Abu Dhabi pagi ini.
Semalam polis sudah melengkapkan kertas siasatan kes ugutan jenayah yang dikaitkan dengan anak seorang menteri Kabinet seperti tular di media sosial sejak Rabu.
Ketua Polis Negara berkata siasatan kes itu sudah dihantar ke pejabat Timbalan Pendakwa Raya (TPR) pada Isnin lalu, untuk tindakan selanjutnya mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.
Razarudin berkata, tindakan itu sekali gus menunjukkan bahawa Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak pernah berkompromi atau melindungi mana-mana pihak yang melakukan kesalahan.
Katanya, polis juga sudah merakam percakapan terhadap semua pihak yang terlibat dalam kes berkenaan.
X :@malaysiatribune
Instagram :@malaysiatribune
Threads :@malaysia.tribune
Youtube :Malaysia Tribune
TikTok : Malaysia Tribune
Whatsapp Channel :Malaysia Tribune
Telegram :Malaysia Tribune