Tiada lesen, Karnival Havoc Food Festival diarah henti
KUALA LUMPUR – Penganjuran Karnival Havoc Food Festival di tempat letak kereta Sama Square di Setapak, di sini, yang tamat esok diarah dihentikan bermula hari ini.
Ahli Parlimen Setiawangsa Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, arahan itu dikeluarkan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) kerana penganjurannya tidak mendapat lesen hiburan semasa daripada pihak berkuasa tempatan berkenaan.
“Susulan kesesakan lalu lintas melampau yang telah mengganggu penduduk di kawasan terbabit, pejabat saya telah menyusuli dengan tindakan kepada pihak berkuasa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Nik Nazmi turut memaklumkan permohonan penganjur untuk mendapatkan lesen bagi mengadakan festival itu sebelum ini ditolak sebanyak dua kali disebabkan lewat dan aduan penduduk setempat berkaitan masalah lalu lintas.
“Pihak penganjur diingatkan tidak mengulangi kesalahan terbabit dan mengambil maklum situasi penduduk setempat sebelum menganjurkan apa-apa acara yang boleh mengganggu orang awam,” katanya.
Terdahulu, tular di media sosial sejak 9 Januari lalu apabila penduduk di kawasan itu meluahkan reaksi negatif kerana terpaksa menempuh kesesakan lalu lintas hampir dua jam berpunca daripada penganjuran karnival berkenaan.
X :@malaysiatribune
Instagram :@malaysiatribune
Threads :@malaysia.tribune
Youtube :Malaysia Tribune
TikTok : Malaysia Tribune
Whatsapp Channel :Malaysia Tribune
Telegram :Malaysia Tribune