KSN terus perkukuh hubungan bersama pengamal media
PETALING JAYA – Kerajaan komited meneruskan kerjasama pintar dengan pengamal media bagi memastikan inisiatif dan hasrat kerajaan dapat disampaikan secara tepat kepada rakyat.
Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata, usaha itu adalah sebahagian daripada strategi dalam kerangka reformasi perkhidmatan awam yang dirancang dan bakal dibentangkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Tadbir urus melalui pendekatan bersama pengamal media itu penting supaya mereka lebih memahami dasar kerajaan dan dapat menguar-uarkan hasrat tersebut kepada rakyat,” katanya ketika ditemui selepas pertandingan boling KSN Media Strike Challenge 2025 di sini, hari ini.
Program itu turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif Bernama, Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin bersama lebih 200 peserta termasuk pengamal media dari pelbagai agensi, pengurusan tertinggi Jabatan Perdana Menteri dan kakitangan pejabat KSN.
Pertandingan yang menyaksikan Shamsul Azri turut beraksi itu disertai oleh Ketua Pengarang Bernama, Arul Rajoo Durar Raj, Ketua Bernama TV, Nor Hamzeela Md Hambali dan Ketua Bernama Radio, Azlan Idris.
Shamsul Azri berkata, hubungan rapat dengan media menjadi keutamaan bagi memperkukuh komunikasi dua hala antara kerajaan dan rakyat.
“Sebelum ini, kita adakan makan malam bersama media. Hari ini, pertandingan boling.dan selepas ini mungkin sukan tahunan. Program seperti ini membolehkan kita membina hubungan tanpa sebarang halangan,” katanya lagi.
Beliau yang juga Yang Dipertua Majlis Kebajikan dan Sukan Anggota-Anggota Kerajaan Malaysia (Maksak) berkata, lebih banyak program bersama media akan dirangka selepas ini.
Pada 27 Ogos lalu, Shamsul Azri memaklumkan bahawa kerangka reformasi perkhidmatan awam sedang direncana bagi meningkatkan mutu perkhidmatan kepada rakyat, termasuk seiring dengan kenaikan gaji penjawat awam.
X :@malaysiatribune
Instagram :@malaysiatribune
Threads :@malaysia.tribune
Youtube :Malaysia Tribune
TikTok : Malaysia Tribune
Whatsapp Channel :Malaysia Tribune
Telegram :Malaysia Tribune