KDN serah kes penggubahan wang haram kepada PDRM
SEPANG – Kementerian Dalam Negeri (KDN) menyerahkan sepenuhnya kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menyiasat kes penggubahan wang haram yang melibatkan seorang ketua pegawai eksekutif (CEO) sebuah stesen penyiaran di Sarawak.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, beliau telah dimaklumkan oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain mengenai kes berkenaan yang kini berada di peringkat siasatan.
“Setakat ini, lima individu telah ditahan untuk membantu siasatan. Kes ini masih dalam siasatan, jadi kita beri ruang kepada Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) untuk melengkapkan siasatan,” katanya ketika ditemui selepas meninjau sistem kod respons pantas (QR) pelepasan imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hari ini.
Semalam, PDRM melaporkan lima individu berusia antara 26 hingga 62 tahun telah ditahan dalam Op Ranaga selepas menerima laporan berkaitan transaksi mencurigakan pada Oktober lalu.
Antara yang ditahan termasuk seorang wanita dan seorang lelaki yang juga CEO sebuah syarikat serta dua anak mereka.
Tan Sri Razarudin berkata, siasatan awal mendapati transaksi mencurigakan tersebut berlaku antara tahun 2017 hingga September 2023, melibatkan beberapa akaun bank.
Hasil operasi, Pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA) Bukit Aman telah merampas, membekukan dan menyita pelbagai aset bernilai kira-kira RM17.4 juta, termasuk kenderaan, akaun bank dan dokumen berkaitan.
Kes itu sedang disiasat secara menyeluruh oleh JSJK dan pihak berkuasa memberi jaminan bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang terbabit dalam aktiviti haram tersebut.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes itu diminta tampil membantu siasatan.
X :@malaysiatribune
Instagram :@malaysiatribune
Threads :@malaysia.tribune
Youtube :Malaysia Tribune
TikTok : Malaysia Tribune
Whatsapp Channel :Malaysia Tribune
Telegram :Malaysia Tribune