5 sekeluarga maut nahas dua kenderaan
PEKAN – Lima sekeluarga termasuk seorang bayi maut dalam kemalangan melibatkan dua kenderaan di Jalan Nenasi-Rompin, berhampiran Kampung Sembayan, pada petang tadi.
Pemangku Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Wan Ahmad Fadillah Wan Abdul Rahman berkata, seramai 23 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Rompin dan BBP Nenasi dikerahkan ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian berkenaan kira-kira jam 7.14 petang.
“Setibanya pasukan bomba di lokasi, kami mendapati kemalangan berkenaan melibatkan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV), Nissan Grand Livina dan Proton Wira Aeroback.
“Operasi menggunakan pelbagai jentera termasuk Fire Rescue Tender (FRT), Toyota Hilux, Light Fire Rescue Tender (LFRT) serta Emergency Medical Rescue Services (EMRS) bagi memberikan bantuan kecemasan,” katanya dalam satu kenyataan.
Katanya, seorang lelaki dan wanita yang berada dalam Nissan Grand Livina cedera manakala lima mangsa termasuk seorang bayi tersepit dalam Proton Wira Aeroback.
Beliau berkata, anggota bomba segera menjalankan operasi menyelamat dan berjaya mengeluarkan kelima-lima mangsa yang tersepit.
“Bagaimanapun, kesemua mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan.
“Mayat kesemua mangsa dibawa ke Hospital Pekan untuk proses bedah siasat manakala dua mangsa yang cedera telah dihantar ke hospital berhampiran untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya.
Wan Ahmad Fadillah berkata, kes tersebut diserahkan kepada polis untuk siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca sebenar kemalangan.
X :@malaysiatribune
Instagram :@malaysiatribune
Threads :@malaysia.tribune
Youtube :Malaysia Tribune
TikTok : Malaysia Tribune
Whatsapp Channel :Malaysia Tribune
Telegram :Malaysia Tribune