Sesi Temu Rapat Menteri: kebajikan warga emas jadi keutamaan
KUALA LUMPUR – Sesi Temu Rapat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr. Zaliha Mustafa bersama warga emas Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya menjadi platform dua hala bagi mengenal pasti keperluan serta cabaran golongan itu.
Program tersebut turut membincangkan isu kritikal seperti akses kepada perkhidmatan kesihatan, bantuan kewangan dan perumahan selamat.
Turut disarankan adalah penyelesaian praktikal melalui inisiatif seperti program latihan kemahiran, sokongan sosial serta penyediaan maklumat yang mudah diakses bagi memastikan kualiti hidup warga emas lebih terjamin.
Zaliha berkata, pendekatan ‘whole-of-nation’ itu diambil bagi memastikan warga emas mendapat perhatian yang sewajarnya.
“Kita mahu golongan warga emas terus disantuni dan tidak tercicir daripada pembangunan negara, sejajar dengan aspirasi Malaysia MADANI,” katanya di sini hari ini.
Sesi itu disokong oleh pelbagai agensi kerajaan seperti Yayasan Kebajikan Negara (YKN), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Kementerian Ekonomi dan Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan & Putrajaya (JKWPKL&P).
Pihak swasta seperti Dr Optometry, Protect Health Corporation Sdn. Bhd., Haywood Senior Living dan Sunway Sanctuary Sunway City turut memainkan peranan penting.
Zaliha berkata, melalui maklum balas yang diterima, kerajaan berhasrat merumuskan dasar yang lebih sesuai dan berimpak positif kepada golongan sasaran.
“Ini termasuk menyokong inisiatif Program Usaha Jaya Insan (PUJI) yang menekankan nilai Lindung@PUJI,” katanya lagi.
Sesi itu juga mengukuhkan hubungan strategik antara kerajaan dan pelbagai pihak bagi memastikan pelaksanaan program sosial lebih efektif, memberi manfaat kepada semua lapisan masyarakat khususnya warga emas di Wilayah Persekutuan.
X :@malaysiatribune
Instagram :@malaysiatribune
Threads :@malaysia.tribune
Youtube :Malaysia Tribune
TikTok : Malaysia Tribune
Whatsapp Channel :Malaysia Tribune
Telegram :Malaysia Tribune