Rusuhan kedai makan : 13 individu ditahan, 5 dengan rekod jenayah
KLUANG – Tindakan sekumpulan lelaki membuat kacau di sebuah kedai makan di pusat bandar Kluang di sini berakhir dengan penahanan 13 individu oleh pihak polis, malam semalam.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, rusuhan itu dipercayai berpunca daripada pertengkaran mulut yang membawa kepada kekecohan.
“Kesemua suspek yang ditahan berusia antara 17 hingga 54 tahun manakala semakan rekod mendapati lima daripada mereka mempunyai kesalahan jenayah lampau termasuk berkaitan narkotik,” katanya dalam kenyataan, semalam.
Beliau berkata, kejadian itu dilaporkan berlaku sekitar jam 9.45 malam apabila orang awam membuat panggilan kecemasan memaklumkan insiden tersebut.
“Susulan laporan diterima, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang bertindak pantas dan berjaya menahan 13 lelaki tempatan di tiga lokasi berbeza sekitar jam 11.15 malam hari yang sama,” katanya.
Tambahnya, ujian saringan air kencing ke atas semua suspek mendapati mereka bebas daripada penyalahgunaan dadah.
“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh. Jika sabit kesalahan, mereka boleh dihukum penjara sehingga dua tahun, denda, atau kedua-duanya sekali,” jelasnya.
Orang ramai diingatkan supaya tidak bertindak melanggar undang-undang dan mengutamakan penyelesaian secara aman bagi mengelak tindakan tegas pihak berkuasa.
X :@malaysiatribune
Instagram :@malaysiatribune
Threads :@malaysia.tribune
Youtube :Malaysia Tribune
TikTok : Malaysia Tribune
Whatsapp Channel :Malaysia Tribune
Telegram :Malaysia Tribune