Joseph Aoun, panglima tentera dilantik Presiden baharu Lubnan
BEIRUT – Panglima Angkatan Tentera Lubnan, Joseph Aoun dipilih sebagai Presiden baharu Lubnan melalui dua pusingan pemilihan di Parlimen sekaligus menamatkan kekosongan jawatan selama lebih dua tahun.
Aoun, 60, memperoleh 71 undi dalam pusingan pertama disusuli dengan 99 undi daripada keseluruhan 128 undi pada pusingan kedua, melebihi keperluan minimum 86 undi untuk menang.
Keputusan secara majoriti itu bagaimanapun mencetuskan perdebatan kerana pelantikan itu bertentangan dengan Perlembagaan Lubnan yang melarang mana-mana individu memegang jawatan rasmi dalam tempoh dua tahun daripada memegang jawatan Presiden.
Laluan pentadbiran Aoun yang merupakan Presiden ke 14 bagaimanapun dilihat mencabar kerana mewarisi negara yang berdepan krisis ekonomi, kejatuhan mata wang, inflasi tinggi dan kadar kemiskinan yang teruk.
Beliau bagaimanapun berikrar melaksanakan reformasi perbankan dan berusaha memulihkan deposit yang dibekukan sejak krisis kewangan 2019, lapor The Times.
Aoun yang disokong oleh Amerika Syarikat dan Arab Saudi dijangka memainkan peranan penting dalam mengekalkan gencatan senjata antara Israel dan Hezbollah selain diharap untuk berunding mendapatkan bantuan bagi pembinaan semula negara itu.
Sementara itu, Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden, memuji Aoun dan percaya beliau akan memimpin usaha penting untuk mengekalkan gencatan senjata antara Israel dan Hizbullah.
X :@malaysiatribune
Instagram :@malaysiatribune
Threads :@malaysia.tribune
Youtube :Malaysia Tribune
TikTok : Malaysia Tribune
Whatsapp Channel :Malaysia Tribune
Telegram :Malaysia Tribune