Urusan kerajaan lebih mudah dengan Kiosk Sentuhan MADANI
PUTRAJAYA – Rakyat kini berpeluang menikmati kemudahan lebih baik dalam mengakses perkhidmatan kerajaan melalui pelancaran Kiosk Sentuhan MADANI yang diperkenalkan bagi memenuhi keperluan digitalisasi serta menyantuni kehendak masyarakat.
Kiosk digital itu menyediakan pelbagai perkhidmatan kerajaan di lokasi strategik seperti pusat beli-belah dengan waktu operasi yang lebih panjang.
Inisiatif ini memudahkan rakyat mendapatkan perkhidmatan di luar waktu pejabat, sekali gus meningkatkan keberkesanan penyampaian perkhidmatan awam.
Bagi fasa pertama, sebanyak enam kiosk telah mula beroperasi di pusat beli-belah Alamanda, Putrajaya.
Pelancaran rasmi inisiatif ini disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, bersama kehadiran beberapa anggota Jemaah Menteri dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.
Kiosk Sentuhan MADANI itu menawarkan lebih 90 jenis perkhidmatan yang melibatkan beberapa agensi kerajaan dan syarikat berkaitan seperti Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), MyDigital ID (MIMOS), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Pos Malaysia, Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB).
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, kerajaan berharap lebih banyak syarikat korporat dapat tampil memberi sokongan terhadap inisiatif itu dengan menyediakan tapak pemasangan kiosk di premis masing-masing.
Menurutnya, kos pemasangan adalah berpatutan dan lokasi seperti pusat beli-belah atau kawasan tumpuan ramai adalah sangat sesuai untuk tujuan tersebut.
“Saya difahamkan kosnya tidak terlalu tinggi, dengan kerjasama beberapa pihak, kita yakin lebih banyak lokasi boleh dimanfaatkan untuk kemudahan rakyat,” katanya di sini hari ini.
Beliau turut bwrkata, kiosk kedua dijangka dipasang di Stesen KL Sentral, Kuala Lumpur dan dijadualkan mula beroperasi pada penghujung Februari ini.
Sementara itu, Tan Sri Shamsul Azri dalam satu kenyataan menegaskan bahawa inisiatif Kiosk Sentuhan MADANI menggunakan pendekatan ‘whole-of-nation’, yang melibatkan sinergi pelbagai jabatan dan agensi.
“Ia secara tidak langsung mencerminkan komitmen tinggi sektor awam dan korporat dalam memastikan kejayaan inisiatif ini,” katanya.
Pelancaran Kiosk Sentuhan MADANI itu diharap dapat memberikan kemudahan terbaik kepada rakyat, sekali gus mengukuhkan aspirasi kerajaan untuk mendekatkan perkhidmatan kepada masyarakat.
X :@malaysiatribune
Instagram :@malaysiatribune
Threads :@malaysia.tribune
Youtube :Malaysia Tribune
TikTok : Malaysia Tribune
Whatsapp Channel :Malaysia Tribune
Telegram :Malaysia Tribune