![](https://i0.wp.com/malaysiatribune.news/wp-content/uploads/2025/01/greenland-scaled-1.jpg?resize=780%2C470&ssl=1)
Trump ulangi hasrat beli Greenland, cetus reaksi antarabangsa
WASHINGTON – Presiden Amerika Syarikat (AS) yang bakal dilantik, Donald Trump, sekali lagi menyuarakan hasrat kontroversi untuk membeli Greenland, wilayah autonomi di bawah naungan Denmark dengan alasan untuk tujuan keselamatan negara dan strategi global AS.
Trump menegaskan bahawa Greenland yang terletak secara strategik di kawasan Artik mempunyai kepentingan besar dari segi geopolitik dan sumber alam semula jadi.
Beliau mendakwa, pemilikan Greenland boleh membantu AS mengukuhkan kedudukan globalnya dan mengawal laluan perdagangan Artik yang semakin penting akibat pencairan ais.
Namun, hasrat tersebut mendapat bantahan keras daripada Perdana Menteri Greenland, Múte Eged, yang dengan tegas menyatakan bahawa wilayah itu bukan untuk dijual.
“Greenland akan terus kekal sebagai wilayah autonomi di bawah Denmark,” katanya dalam satu kenyataan.
![](https://i0.wp.com/malaysiatribune.news/wp-content/uploads/2025/01/128327712_bbcmp_greenland.png?resize=780%2C439&ssl=1)
Setiausaha Negara AS, Antony Blinken, turut menyifatkan cadangan itu sebagai tidak praktikal dan tidak wajar.
“Idea untuk membeli Greenland bukan sahaja tidak realistik tetapi juga membuang masa,” katanya seperti dilaporkan New York Post.
Dalam tindak balas agresif, Trump turut mencadangkan pengenaan tarif tinggi ke atas produk Denmark jika kerajaan negara itu terus enggan mempertimbangkan cadangannya.
Malah, terdapat laporan beliau mengancam tindakan ketenteraan untuk mengawal laluan strategik lain seperti Terusan Panama, yang menimbulkan kebimbangan di peringkat antarabangsa.
Menteri Luar Perancis, Jean-Noël Barrot, turut menyuarakan kebimbangan terhadap ancaman Trump dengan menyifatkan sebarang tindakan terhadap Greenland sebagai serangan terhadap Kesatuan Eropah.
“Kami tidak akan berdiam diri sekiranya perkara ini diteruskan,” katanya.
Hasrat Trump itu juga menarik perhatian pakar geopolitik yang mempersoalkan motif sebenar beliau.
Greenland, yang kaya dengan sumber mineral seperti nadir bumi, telah lama menjadi perhatian kuasa besar seperti AS, China, dan Rusia.
X :@malaysiatribune
Instagram :@malaysiatribune
Threads :@malaysia.tribune
Youtube :Malaysia Tribune
TikTok : Malaysia Tribune
Whatsapp Channel :Malaysia Tribune
Telegram :Malaysia Tribune