Suspek didakwa serang dua pereka fesyen dituduh esok
PETALING JAYA – Polis mengesahkan suspek yang ditahan kerana didakwa menyerang dan mencederakan dua pereka fesyen di sebuah hotel, malam semalam, akan dituduh di Mahkamah Petaling Jaya, esok.
Ketua Polis Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Ja’afar berkata, kertas siasatan sudah dirujuk kepada pihak timbalan pendakwa raya dan pihaknya sudah mendapat arahan untuk suspek dituduh, esok.
Dalam kejadian di sebuah hotel di sini semalam, dua pereka fesyen tercedera setelah mendakwa diserang lelaki berkenaan.
“Suspek, seorang jurugambar berusia 30 tahun, ditahan di lokasi kejadian, manakala mangsa, dua lelaki tempatan berusia 53 dan 47 tahun, mengalami kecederaan di bahagian pipi.
“Sebuah kamera, yang dipercayai digunakan sebagai senjata semasa serangan, turut dirampas.
“Kejadian ini dipercayai berpunca daripada isu peribadi,” kata Shahrulnizam dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau menambah, suspek direman selama dua hari bermula hari ini dan kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan.
X :@malaysiatribune
Instagram :@malaysiatribune
Threads :@malaysia.tribune
Youtube :Malaysia Tribune
TikTok : Malaysia Tribune
Whatsapp Channel :Malaysia Tribune
Telegram :Malaysia Tribune