Program pemulihan akidah anak-anak GISBH berjalan lancar
SHAH ALAM – Program pemulihan akidah 124 anak-anak yang diselamatkan dari rumah amal GISB Holdings (GISBH) September tahun lalu berjalan lancar dan semakin menunjukkan kemajuan.
EXCO Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi Selangor, Dr Mohammad Fahmi Ngah berkata, anak-anak tersebut kini tidak lagi mengamalkan solat sehari sekali dengan menghimpunkan kesemua 17 rakaat waktu solat seperti sebelum ini.
“Dahulu, itu amalan mereka, solat sekali sehari campurkan semua rakaat solat dari Subuh sampai Isyak. Kita tidak letakkan sebarang sasaran tetapi mahu betulkan akidah mereka.
“Mereka juga taasub dengan Abuya sampai tidak benar kita tukarkan pakaian, kopiah kerana percaya ada berkat Abuya.
“Sekarang semua berubah dan mereka boleh berkomunikasi dengan baik,” katanya, hari ini.
Dalam pada itu, katanya, tempoh penjagaan anak-anak berusia antara 12 hingga 18 tahun tersebut akan tamat hujung bulan ini dan pihaknya akan membuat permohonan lanjutan kepada mahkamah jika perlu.
Jelas beliau, kesemua mereka masih dalam jagaan disebabkan kerajaan negeri tidak dapat mengesan ibu bapa atau penjaga sah mereka, yang dipercayai dalam kalangan ahli GISBH sendiri, selain tiada yang menuntut penjagaan mereka.
“Daripada segi fizikal, keadaan mereka ke arah positif. Pemantauan daripada Kementerian Kesihatan (KKM) sentiasa ada. Kita pastikan mereka mendapat nutrisi lengkap supaya pertumbuhan seimbang,” katanya lagi.
Anak-anak ini merupakan sebahagian daripada 402 kanak-kanak dan remaja berusia setahun hingga 17 tahun yang diselamatkan menerusi Op Global, September tahun lepas.
X :@malaysiatribune
Instagram :@malaysiatribune
Threads :@malaysia.tribune
Youtube :Malaysia Tribune
TikTok : Malaysia Tribune
Whatsapp Channel :Malaysia Tribune
Telegram :Malaysia Tribune