Prabowo tiba di Malaysia bagi lawatan kerja
SEPANG – Presiden Indonesia, Prabowo Subianto hari ini tiba bagi lawatan kerja sehari ke Malaysia.
Pesawat khas yang membawa Prabowo dan delegasi mendarat di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada pukul 10.15 pagi.
Ketibaan Prabowo disambut Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Duta Besar Indonesia ke Malaysia, Datuk Hermono.
Prabowo dijadualkan mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, diikuti dengan makan tengah hari secara tertutup, sebelum pulang ke Indonesia petang ini.
Ini merupakan lawatan kerja pertama Prabowo ke Malaysia sejak beliau menjawat jawatan presiden pada Oktober tahun lalu.
Wisma Putra dalam satu kenyataan hari ini berkata, pertemuan antara Prabowo dan Anwar dijangka memberi tumpuan kepada kerjasama dua hala serta meneroka potensi kerjasama baharu untuk memperkukuhkan hubungan antara kedua-dua negara.
Lawatan ini mencerminkan hubungan istimewa antara Malaysia dan Indonesia yang disokong oleh kerjasama kukuh dalam pelbagai bidang termasuk ekonomi, sosio-budaya, pertahanan dan keselamatan.
“Dengan Malaysia mengambil alih peranan sebagai Pengerusi ASEAN tahun ini, kedua-dua pemimpin dijangka bertukar pandangan mengenai usaha memperkukuhkan Pembinaan Komuniti ASEAN, kerjasama serantau serta menangani cabaran global,” kata kenyataan itu, hari ini.
Malaysia secara rasmi memegang jawatan sebagai Pengerusi ASEAN bermula bulan ini dengan tema ‘Inklusiviti dan Kelestarian’.
Pada tahun 2023, Indonesia merupakan rakan dagang ketujuh terbesar Malaysia di peringkat global dan ketiga terbesar dalam kalangan negara anggota ASEAN, dengan jumlah dagangan sebanyak RM111.21 bilion (USD24.39 bilion).
Dari Januari hingga Oktober 2024, jumlah dagangan dua hala antara kedua-dua negara mencecah RM95.50 bilion (USD20.75 bilion) berbanding RM94.37 bilion (USD20.69 bilion) dalam tempoh yang sama pada tahun 2023.
X :@malaysiatribune
Instagram :@malaysiatribune
Threads :@malaysia.tribune
Youtube :Malaysia Tribune
TikTok : Malaysia Tribune
Whatsapp Channel :Malaysia Tribune
Telegram :Malaysia Tribune