Jenayah & Mahkamah

Polis siasat insiden bayi dalam jagaan taska meninggal dunia

KUALA LANGAT – Polis sudah membuka kertas siasatan berhubung kematian seorang bayi berusia empat bulan di sebuah taska di Bandar Saujana Putra, Kuala Langat, minggu lalu.

Menurut Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Mohd Akmalrizal Radzi, pihaknya menerima laporan daripada seorang doktor yang memaklumkan menerima seorang bayi daripada pengasuh sebuah taska pada pukul 3.29 petang, 3 Januari lalu.

Bayi itu dilaporkan dalam keadaan pucat, kebiruan pada bibir serta kaki, tiada nadi, pernafasan serta gerakan anak mata.

“Pengadu kemudian melakukan prosedur resusitasi kardio-pulmonari (CPR) dan bantuan oksigen sementara menunggu ambulans untuk membawa bayi itu ke hospital.

“Pihak hospital yang kemudian menerima bayi itu sekitar pukul 4.35 petang juga melakukan CPR selama lebih 30 minit namun tiada tindak balas dan doktor mengesahkan bayi lelaki itu meninggal dunia pada pukul 5.05 petang.

“Susulan itu, polis membuka siasatan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun atau denda maksimum RM50,000 atau kedua-duanya sekali,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mohd Akmalrizal kemudiannya berkata, pihaknya sudah mengambil keterangan daripada pekerja dan pengusaha taska berkenaan.

Siasatan mendapati, premis berkenaan sedanag dalam permohonan untuk mendapatkan lesen.

“Kita akan lengkapkan siasatan dan merujuk perkara ini kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk arahan selanjutnya,” katanya.

Beliau kemudian turut menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan polis dan mana-mana individu yang mempunyai maklumat diminta tampil ke balai polis berdekatan atau menghubungi bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Langat di 03-31872222.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Facebook :Malaysia Tribune
X :@malaysiatribune
Instagram :@malaysiatribune
Threads :@malaysia.tribune
Youtube :Malaysia Tribune
TikTok : Malaysia Tribune
Whatsapp Channel :Malaysia Tribune
Telegram :Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button