Pertikai keputusan mahkamah, pentadbir akaun Facebook Najib Razak dikecam
KUALA LUMPUR – Hantaran di Facebook milik bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, yang mempertikaikan keputusan Mahkamah Tinggi berhubung kes SRC International mencetuskan kontroversi apabila ia dianggap menghina mahkamah.
Tindakan itu turut mengundang laporan polis terhadap pentadbir akaun Facebook tersebut, Eric See-To.
Ahli Majlis Pimpinan Pusat KEADILAN, Fahmi Zainol berkata, hantaran itu adalah satu jenayah menghina mahkamah kerana secara terang-terangan mengkritik keputusan Mahkamah Tinggi yang telah disahkan oleh Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan.
“Tindakan Najib mempertikaikan kewibawaan Hakim Mohd Nazlan Ghazali dilihat sebagai cubaan mencemarkan institusi kehakiman negara yang mampu memberi kesan buruk kepada imej badan kehakiman,” katanya pada satu kenyataan hari ini.
Beliau turut menyifatkan cubaan membangkitkan semula isu kredibiliti Hakim Nazlan melalui laporan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dua tahun lalu sebagai bercanggah dengan fakta kes.
“Najib Razak sendiri telah menarik balik dakwaan rasuah terhadap Hakim Nazlan melalui afidavit jawapan lanjutan yang difailkan di Mahkamah Persekutuan.
“Selain itu, panel tujuh anggota Mahkamah Persekutuan juga memutuskan bahawa siasatan SPRM terhadap Hakim Nazlan tidak mengikut protokol serta tidak mengambil kira aspek kebebasan kehakiman,” katanya lagi.
Fahmi turut mendedahkan laporan polis terhadap Eric See-To dibuat berdasarkan dua justifikasi utama.
Pertama, pengakuannya sebagai salah seorang pentadbir Facebook Najib Razak, yang dibuat dalam sebuah podcast bersama Menteri Ekonomi.
Kedua, hantaran yang dimuat naik di Facebook tersebut menyerupai artikel yang ditulis oleh Eric See-To di portal Malaysiakini pada 7 Januari 2025 bertajuk “Revisiting Najib’s RM42m SRC Conviction”.
Beliau turut berkata, laporan itu dibuat bagi memastikan Eric See-To bertanggungjawab atas kenyataan yang telah mencetuskan kontroversi.
“Institusi kehakiman negara perlu dihormati dan sebarang tindakan yang mencemarkan reputasi mahkamah tidak boleh dibiarkan,” tegasnya lagi.
Laporan polis itu dijangka menjadi langkah awal dalam menangani isu penghinaan terhadap institusi kehakiman negara yang semakin kerap dipersoalkan.
X :@malaysiatribune
Instagram :@malaysiatribune
Threads :@malaysia.tribune
Youtube :Malaysia Tribune
TikTok : Malaysia Tribune
Whatsapp Channel :Malaysia Tribune
Telegram :Malaysia Tribune