Berita SemasaJenayah & Mahkamah

Pegawai agensi kerajaan, dua pengarah syarikat direman SPRM

PUTRAJAYA – Dua pengarah syarikat dan seorang pegawai agensi sebuah kementerian ditahan reman kerana disyaki terbabit dalam kegiatan rasuah bagi mendapatkan kelulusan Lesen Kenderaan Perdagangan (LKP) tanpa memenuhi syarat sah.

Perintah reman selama empat hari dikeluarkan oleh Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin di Mahkamah Majistret Putrajaya, hari ini, selepas permohonan dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Menurut sumber, suspek lelaki berusia 40 hingga 50-an itu dipercayai bersekongkol dalam sindiket memalsukan dokumen untuk mendapatkan surat tawaran kelulusan LKP baharu.

“Syarikat yang terlibat dipercayai bekerjasama dengan pegawai agensi berkenaan untuk menyediakan maklumat palsu bagi meluluskan permohonan LKP Kelas Lesen Pembawa dengan bayaran sekitar RM3,500 setiap permohonan,” katanya.

Selain itu, pihak syarikat tersebut turut membantu memalsukan dokumen seperti penyata bank dan menguruskan proses Surat Tawaran Kelulusan (STK) serta Surat Kelulusan Lanjut Usia (SKLU) bagi memastikan kenderaan perdagangan lulus pemeriksaan awal di Puspakom.

Operasi yang dikenali sebagai Op Loader itu dilakukan oleh Bahagian Perisikan SPRM semalam, menyaksikan tiga suspek bersama lima individu lain ditahan di sekitar Melaka dan Lembah Klang.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut.

“Kes ini sedang disiasat di bawah Seksyen 16 dan Seksyen 17 Akta SPRM 2009. SPRM komited untuk membanteras segala bentuk salah guna kuasa dan rasuah yang merugikan negara,” katanya.

Kegiatan ini mencetuskan kebimbangan mengenai integriti dalam pengurusan lesen kenderaan perdagangan, sekali gus SPRM menyeru orang ramai untuk melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan bagi memastikan ketelusan sistem terus terjamin.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Facebook :Malaysia Tribune
X :@malaysiatribune
Instagram :@malaysiatribune
Threads :@malaysia.tribune
Youtube :Malaysia Tribune
TikTok : Malaysia Tribune
Whatsapp Channel :Malaysia Tribune
Telegram :Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button