Berita Semasa

Menteri Pelancongan kesal video montaj Visit Malaysia dimanipulasi

PUTRAJAYA – Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Datuk Seri Tiong King Sing tampil memberi respon selepas video montaj Tahun Melawat Malaysia 2026 menjadi kontroversi pelbagai pihak.

Dalam satu kenyataan malam tadi, King Sing berkata, video montaj yang disiarkan sebelum ini hanyalah video pelancaran ringkas dan pendek dengan durasi 41 saat.

Menurutnya elemen seni bina masjid akan dimasukkan dalam video promosi yang lebih terperinci dalam masa terdekat dan meminta semua pihak tidak mempolitikkan isu berkenaan.

“Malaysia mempunyai pelbagai keindahan dan keunikan di negara ini, termasuk seni bina masjid yang memukau.

“Untuk itu, elemen-elemen tersebut akan dimasukkan dalam video promosi yang lebih terperinci serta memaparkan setiap elemen dengan lebih khusus, di mana video ini dalam proses peringkat akhir dan akan dikeluarkan dalam masa terdekat,” katanya.

Tangkap layar video montaj Tahun Melawat Malaysia 2026

Beberapa pihak mengkritik video montaj itu kerana tidak mempamerkan elemen masjid sedangkan terdapat paparan rumah ibadat lain seperti gereja dan kuil.

Dalam pada itu, beliau berharap agar semua pihak memahami video pelancaran seperti ini tidak boleh terlalu panjang atau terperinci.

King Sing menegaskan, tujuan utama video montaj ringkas pelancaran Kempen TMM 2026 adalah untuk mempromosikan pelancongan, keindahan seni, budaya dan produk pelancongan Malaysia secara keseluruhan termasuk perpaduan, perkembangan ekonomi serta hala tuju negara pada masa depan, bukannya mengenai agama atau perkauman.

Sementara itu, King Sing melahirkan rasa amat kesal dengan tindakan sesetengah pihak yang tidak bertanggungjawab dalam memanipulasi isu berkenaan sebagai sentimen agama dan perkauman serta bahan perpecahan

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Facebook :Malaysia Tribune
X :@malaysiatribune
Instagram :@malaysiatribune
Threads :@malaysia.tribune
Youtube :Malaysia Tribune
TikTok : Malaysia Tribune
Whatsapp Channel :Malaysia Tribune
Telegram :Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button