KPT garis 10 agenda transformasi 2025
KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) mengumumkan pelaksanaan 10 agenda transformasi pendidikan tinggi bagi tahun 2025 bagi membangunkan sistem pendidikan tinggi negara yang lebih dinamik, inklusif dan berdaya saing di peringkat global.
Menterinya, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, kementerian meletakkan matlamat pendidikan yang unggul untuk melaksanakan misi pendidikan tinggi dalam mencorak masa depan negara.
Menurut beliau, antara fokus utama agenda transformasi tersebut adalah kajian semula sistem kenaikan pangkat ahli akademik di institusi pengajian tinggi (IPT).
“Perbezaan ketara dalam dasar kenaikan pangkat di kalangan IPT perlu ditangani. Sebuah jawatankuasa khas akan ditubuhkan untuk mengkaji semula dasar ini agar keseragaman dapat dicapai,” kata beliau pada Majlis Perutusan Tahun Baharu 2025 KPT di Dewan Sultan Iskandar, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) hari ini.
Selain itu, Zambry juga mahu kerajaan mengkaji semula kenaikan pangkat pensyarah IPT dan menstruktur bayaran kepada pensyarah yang dipinjam untuk berkhidmat di agensi atau jabatan kerajaan.
“Kami akan menstruktur semula aturan ini supaya pengalaman perkhidmatan dan tahap senioriti mereka yang berkhidmat di luar kampus turut diiktiraf,” katanya.
Dalam usaha memperkukuhkan kebebasan bersuara, Zambry menjelaskan KPT sedang berusaha untuk memohon pengecualian universiti awam daripada Akta 605 melalui perubahan Pekeliling Pentadbiran.
“Langkah ini akan membolehkan ahli akademik bebas bersuara dalam bidang kepakaran masing-masing,” jelasnya.
Selain itu, beliau turut mengumumkan bahawa Akta Institusi Pendidikan Swasta 1996 (Akta 555) akan dikaji semula secara menyeluruh pada tahun hadapan. ”
“Kajian ini penting untuk memastikan akta ini kekal relevan dan berkesan dalam menyokong pembangunan sektor pendidikan tinggi swasta. Kami akan melibatkan semua pihak berkepentingan dalam proses ini,” tambahnya.
Beliau juga menekankan pentingnya pindaan Akta 550 bagi Politeknik dan Kolej Komuniti (POLYCC) yang bertujuan untuk memperbaiki tadbir urus POLYCC dengan mewujudkan punca kuasa yang jelas sekali gus menjadikan POLYCC sebagai institusi TVET yang cemerlang dan dinamik.
Agenda seterusnya adalah usaha memacu inovasi dan pertumbuhan ekonomi melalui penubuhan Unit Research, Innovation, Commercialization and Entrepreneurship (RDICE) di setiap IPT.
“Unit ini akan menggalakkan kerjasama antara akademia dan industri serta memacu pembangunan syarikat pemula (start-up),” katanya.
Tidak ketinggalan, beliau turut menyentuh mengenai isu beban kerja pensyarah yang semakin meningkat.
“Kami menerima laporan berkenaan isu ini dan akan menubuhkan jawatankuasa khas untuk mengkaji masalah tersebut secara menyeluruh, termasuk cadangan untuk melaksanakan sistem clock-in yang lebih fleksibel,” katanya.
Agenda lain termasuklah mengkaji semula kedudukan dan Kerjasama antara IPT negeri dengan KPT serta IPT lain, menstruktur semula Pejabat Education Malaysia (EM) di luar negara dan membangunkan sistem baharu bagi memudahkan kemasukan pelajar antarabangsa ke Malaysia.
“Agenda transformasi ini mencerminkan komitmen KPT untuk memperkasa sektor pendidikan tinggi negara sejajar dengan aspirasi untuk menjadikan Malaysia sebagai hub pendidikan serantau,” katanya.
X :@malaysiatribune
Instagram :@malaysiatribune
Threads :@malaysia.tribune
Youtube :Malaysia Tribune
TikTok : Malaysia Tribune
Whatsapp Channel :Malaysia Tribune
Telegram :Malaysia Tribune