Ketua Yakuza mengaku bersalah seludup uranium, dadah, senjata api ke AS
NEW YORK – Seorang ketua sindiket jenayah terkenal Jepun, Takeshi Ebisawa, 60, mengaku bersalah atas tuduhan menyeludup bahan nuklear dari Myanmar selain terlibat dalam penyeludupan dadah dan senjata.
Pengakuan itu direkodkan di Mahkamah Manhattan, Amerika Syarikat (AS), semalam.
Menurut kenyataan Jabatan Kehakiman AS, Ebisawa didapati berkomplot bersama rangkaian jenayah antarabangsa menyeludup bahan nuklear seperti uranium dan plutonium gred senjata dari Myanmar ke negara lain termasuk yang disyaki bertujuan untuk kegunaan Iran dalam membangunkan senjata nuklear.
Ketua jenayah yang dikaitkan dengan kumpulan Yakuza itu turut mengaku bersalah atas tuduhan menyeludup heroin dan methamphetamine ke AS sebagai pertukaran untuk senjata berat, termasuk peluru berpandu darat ke udara.
“Seperti yang diakuinya di mahkamah, Takeshi Ebisawa secara terang-terangan menyeludup bahan nuklear yang boleh digunakan dalam pembangunan senjata pemusnah besar-besaran.
“Pada masa sama, dia juga berusaha membawa masuk dadah berbahaya ke AS untuk mendapatkan senjata bagi konflik di Myanmar,” kata Pemangku Peguam AS, Edward Kim.
Difahamkan, operasi jenayah itu mula terbongkar pada 2022 apabila Ebisawa didakwa atas tuduhan penyeludupan narkotik dan senjata api.
Pada Februari 2024, siasatan lanjut membawa kepada pendedahan aktiviti penyeludupan bahan nuklear yang dikaitkan dengan konspirasi bersama beberapa rakan jenayah antarabangsa.
Rancangan licik Ebisawa digagalkan hasil kerjasama erat pihak berkuasa AS dengan Indonesia, Jepun dan Thailand.
Ebisawa kini berdepan hukuman berat, dengan kesnya menjadi salah satu kes antarabangsa terbesar melibatkan jenayah nuklear, dadah dan senjata.
X :@malaysiatribune
Instagram :@malaysiatribune
Threads :@malaysia.tribune
Youtube :Malaysia Tribune
TikTok : Malaysia Tribune
Whatsapp Channel :Malaysia Tribune
Telegram :Malaysia Tribune