Fourkay Sdn Bhd terima pengiktirafan syarikat pembelian emas gadaian patuh syariah
SEPANG – Fourkay Sdn. Bhd. menyatakan komitmennya untuk menjadi peneraju dalam membangunkan industri pembelian emas gadaian yang lebih telus, selamat serta mematuhi prinsip syariah.
Ketua Pegawai Operasi Fourkay, Puteri Ainsyah Quraisha Jamalus berkata, menyedari pentingnya keselamatan dan ketelusan dalam urusan gadaian emas, pihaknya memutuskan untuk lebih menumpukan kepada emas gadaian berbanding emas terpakai.
“Syarikat kami lebih cenderung membeli emas gadaian berbanding emas terpakai kerana risiko lebih rendah dan memastikan semua transaksi adalah telus dan sah di sisi agama,” katanya.
Terdahulu, syarikat tempatan yang berpangkalan di Southville City, Dengkil itu berjaya memperoleh Sijil Pematuhan Syariah daripada Elzar Shariah Solution and Advisory, sekali gus meletakkan asas penting untuk membawa perubahan dalam industri.
Menurut Dr. Zaharuddin Abdul Rahman, pakar kewangan Islam yang terlibat dalam penilaian Sijil Pematuhan Syariah itu, adalah penting memastikan semua urus niaga bebas dari unsur riba.
“Riba dalam kewangan adalah dosa terbesar dalam Islam, dan penting untuk memastikan semua urusniaga adalah patuh syariah dan bebas dari unsur riba,” katanya.
Mengulas lanjut, Ketua Pegawai Eksekutif Fourkay, Mohamad Sanusi Mohd Isa berkata, Sijil Pematuhan Syariah yang diperoleh mampu memberikan perlindungan yang lebih kuat kepada pelanggan terhadap risiko transaksi yang tidak sah atau penipuan.
“Dalam usaha mempertingkatkan keyakinan masyarakat terhadap perkhidmatan pembelian emas gadaian dan emas terpakai, Fourkay menekankan kepatuhan penuh terhadap prinsip syariah.
“Ramai yang masih terdedah kepada penipuan dan risiko keselamatan dalam urusan penjualan emas gadaian. Kami di Fourkay berusaha memastikan setiap pelanggan mendapat pengalaman yang selamat dan telus,” katanya.
Dalam konteks ekonomi semasa, Puteri Ainsyah berkata, Fourkay melihat emas bukan hanya sebagai aset berharga, tetapi sebagai peluang untuk individu menjana keuntungan melalui proses yang sah dan patuh syariah.
“Fourkay juga memiliki sasaran yang tinggi untuk mengembangkan perkhidmatan mereka ke seluruh Malaysia. Dengan fokus utama di kawasan Lembah Klang, syarikat ini bertujuan untuk mencapai 20,000 hingga 25,000 pelanggan pada tahun ini.
“Kami menumpukan kepada kawasan Lembah Klang terlebih dahulu sebelum berkembang ke seluruh Malaysia, dengan sasaran mencapai 20,000 hingga 25,000 pelanggan tahun ini,” ujarnya lagi.
X :@malaysiatribune
Instagram :@malaysiatribune
Threads :@malaysia.tribune
Youtube :Malaysia Tribune
TikTok : Malaysia Tribune
Whatsapp Channel :Malaysia Tribune
Telegram :Malaysia Tribune