Exco negeri kesal insiden kematian bayi empat bulan di taska, gesa siasatan menyeluruh
SHAH ALAM – EXCO Pembangunan Wanita dan Keluarga Selangor, Anfaal Saari, kesal dengan insiden kematian bayi lelaki berusia empat bulan di sebuah taman asuhan kanak-kanak (TASKA) di Bandar Saujana Putra, minggu lalu.
Sehubungan itu, beliau menggesa supaya satu siasatan menyeluruh dilaksanakan, termasuk meminta Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) membuat laporan jika terdapat unsur jenayah.
“Saya kesal perkara ini berlaku, tetapi sekiranya ada unsur (jenayah) dan sebagainya, kita mohon JKM laporkan dan polis perlu menyiasat perkara ini,” kata Anfaal, hari ini.
Beliau menambah, isu keselamatan di taska sering menjadi perhatian pentadbiran negeri, termasuk mewujudkan jawatankuasa khas menyelaraskan garis panduan bagi memudahkan urusan pendaftaran.
“Di peringkat negeri telah bincang apa penambahbaikan daripada segi urusan pendaftaran taska. Selain itu, dengan kerjasama JKM, kita sentiasa memantau operasi semua taska,” katanya.
Dalam pada itu, beliau memberitahu sebanyak 980 taska berdaftar dengan JKM setakat November tahun lalu, selain mengesan terdapat 135 taska beroperasi tanpa lesen.
Laporan media sebelum ini menyebut, bayi berusia empat bulan itu sudah dalam keadaan pucat, dengan bibir dan kaki kebiruan, tanpa nafas serta tiada tindakan balas pada anak mata apabila dibawa berjumpa doktor.
Bayi tersebut kemudiannya dihantar ke hospital dan disahkan meninggal dunia pada pukul 5.05 petang.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Mohd Akmalrizal Radzi, mengesahkan menerima laporan kejadian dan kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.
X :@malaysiatribune
Instagram :@malaysiatribune
Threads :@malaysia.tribune
Youtube :Malaysia Tribune
TikTok : Malaysia Tribune
Whatsapp Channel :Malaysia Tribune
Telegram :Malaysia Tribune