DJ Lin pilih bahagia, tidak pernah berdendam
FIGURA wanita yang tidak asing lagi dalam industri penyiaran, DJ Lin terus positif menjalani kehidupannya meskipun pernah teruji dengan kontroversi hingga menerima kecaman teruk daripada netizen sebelum ini.
Pengendali segmen popular Suria Cinta di Suria FM itu membuktikan kebahagiaan tidak bergantung pada pandangan orang lain, tetapi pada diri sendiri.
“Setiap yang berlaku ada hikmahnya dan menghadiahkan pengalaman berharga selain menyedarkan saya bahawa tidak semestinya kebaikan dan keikhlasan yang kita lakukan akan dihargai dan dikenang manusia.
“Malah, ia turut mengajar diri untuk lebih berhati-hati dan turut mengecilkan lingkungan sahabat. Ini kerana ujian yang berlaku itu menyaksikan realiti siapa yang sebenarnya ada di sisi dan siapa yang memilih untuk pergi, siapa sebenarnya kawan dan siapa sebenarnya lawan.
“Apapun, pahit manis yang dirasa menjadi asbab terbaik untuk saya mendekati Allah dan memperbaiki diri,” katanya kepada Malaysia Tribune.
Ketika berdepan dengan gelombang kritikan dan cemuhan di media sosial, wanita bergelar ibu tunggal itu memilih untuk lebih banyak bersyukur daripada meratapi nasib.
Apa yang lebih mengharukan, ramai netizen dan individu terdekat yang dahulunya mengutuk dan melemparkan kata-kata negatif, kini tampil memohon maaf di atas perbuatan mereka.
Justeru, pemilik nama Roslinda Abd Majid itu menzahirkan rasa syukur ke hadrat Allah.
“Saya tidak pernah menyimpan dendam. Doa saya agar semua orang mendapat kebaikan dalam hidup.
“Apabila ada yang memohon maaf, saya terima dengan hati terbuka. Itu juga satu bentuk rezeki daripada Allah,” tambahnya.
Kini, selain menggalas tanggungjawab sebagai Pengurus Besar Suria FM, beliau turut aktif mengendalikan segmen Suria Cinta yang punya pengikut tersendiri.
Apa yang pasti, dalam setiap langkahnya, DJ Lin berpegang pada prinsip bahawa syukur dan redha adalah kunci kebahagiaan sebenar.
Bagi para peminatnya, kisah perjalanan DJ Lin bukan sekadar kisah seorang selebriti, tetapi sebuah peringatan bahawa setiap insan berhak memilih kebahagiaan, walau seberat mana pun ujian hidup yang dihadapi.
Sebagaimana kata DJ Lin: “Kita tak mampu kawal apa orang lain fikirkan tentang kita, tetapi kita boleh kawal bagaimana kita menghadapi setiap situasi. Pilihlah untuk terus bersyukur dan percaya pada ketentuan Ilahi.”
X :@malaysiatribune
Instagram :@malaysiatribune
Threads :@malaysia.tribune
Youtube :Malaysia Tribune
TikTok : Malaysia Tribune
Whatsapp Channel :Malaysia Tribune
Telegram :Malaysia Tribune