Ahli Kongres usul tukar nama Teluk Mexico kepada Teluk Amerika
WASHINGTON – Ahli Kongres Amerika Syarikat (AS), Marjorie Taylor Greene mencadangkan nama Teluk Mexico ditukar kepada Teluk Amerika melalui satu rang undang-undang yang akan dibentang esok.
Greene berkata, langkah itu merupakan sokongan terhadap agenda Presiden terpilih AS, Donald Trump, yang sebelum ini mengumumkan hasrat menamakan semula teluk tersebut sebagai sebahagian daripada dasar pentadbiran baharunya.
“Ini teluk kita. Nama yang sebenar ialah Teluk Amerika dan seluruh dunia harus merujuknya sedemikian.
“Sebaik sahaja Presiden Trump mengumumkan perkara itu, saya mengarahkan pasukan saya untuk merangka rang undang-undang ini,” katanya menerusi hantaran di platform X, hari ini.
Greene, yang juga wakil Republikan dari Georgia menjelaskan bahawa rang undang-undang tersebut telah siap disusun dengan kerjasama majlis perundangan dan akan dikemukakan hari ini.
Beliau turut menyeru Kongres agar serius dalam melaksanakan mandat agenda Trump dan memastikan pelaksanaan rancangan itu berjalan lancar.
Menurutnya lagi, Teluk Mexico sering disalahgunakan oleh kartel Mexico untuk aktiviti penyeludupan manusia, dadah dan senjata, sekali gus memberi ancaman kepada keselamatan perairan AS.
“Rakyat Amerika telah lama menanggung kos melindungi perairan itu daripada ancaman ketenteraan negara asing,” katanya lagi.
Cadangan tersebut dijangka mencetuskan perdebatan hangat, terutamanya antara AS dan Mexico, memandangkan sensitiviti geopolitik yang terlibat.
Setakat ini, tiada kenyataan rasmi daripada kerajaan Mexico berhubung perkara itu namun ramai pihak menjangkakan isu ini bakal menjadi tumpuan di peringkat antarabangsa.
X :@malaysiatribune
Instagram :@malaysiatribune
Threads :@malaysia.tribune
Youtube :Malaysia Tribune
TikTok : Malaysia Tribune
Whatsapp Channel :Malaysia Tribune
Telegram :Malaysia Tribune