Berita Semasa

Minit mesyuarat Lembaga Pengampunan berkaitan Najib Razak tidak akan didedahkan

PUTRAJAYA – Butiran daripada minit mesyuarat Lembaga Pengampunan berkaitan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak kekal sebagai dokumen sulit dan tidak akan didedahkan kepada umum.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa yang juga ahli Lembaga Pengampunan berkata, keputusan itu adalah berdasarkan peraturan sedia ada.

“Minit mesyuarat (Lembaga Pengampunan) adalah perkara sulit. Jadi, kita tidak boleh dedahkan kepada umum. Itu hanya hak Lembaga Pengampunan,” katanya ketika ditemui selepas majlis pelancaran Kiosk Sentuhan MADANI yang disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, di sini, hari ini.

Dr. Zaliha turut berkata, mesyuarat lembaga itu perlu dihormati sebagai institusi penting yang menjaga kerahsiaan, sesuai dengan peranannya dalam sistem pentadbiran negara.

Semalam, Pengerusi Biro Antarabangsa PKR, Datuk Seri Shamsul Iskandar Md Akin mencadangkan agar kerajaan mendedahkan butiran minit mesyuarat Lembaga Pengampunan kepada umum.

Langkah itu, katanya, dapat menghentikan spekulasi berhubung kewujudan Titah Adendum yang dikatakan membolehkan Najib menjalani baki hukuman penjara menerusi tahanan rumah.

Menurut Shamsul Iskandar, pendedahan itu juga penting untuk memastikan ketelusan proses serta mengelakkan manipulasi yang mungkin dimanfaatkan untuk kepentingan politik.

Ketika ditanya sama ada kerajaan akan mempertimbangkan pendedahan butiran tersebut, Dr Zaliha sekali lagi menegaskan bahawa perkara itu tidak akan berlaku.

Turut hadir pada majlis pelancaran Kiosk Sentuhan MADANI ialah Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.

Keputusan Lembaga Pengampunan untuk tidak mendedahkan butiran mesyuarat dijangka akan terus mencetuskan perdebatan di kalangan pemerhati politik dan rakyat yang mengikuti isu itu dengan rapat.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Facebook :Malaysia Tribune
X :@malaysiatribune
Instagram :@malaysiatribune
Threads :@malaysia.tribune
Youtube :Malaysia Tribune
TikTok : Malaysia Tribune
Whatsapp Channel :Malaysia Tribune
Telegram :Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button