Berita Semasa

Tarikh akhir kemuka data potongan cukai bulanan menerusi e-PCB, e-Data PCB dan e-CP39, 15 Jan depan – LHDN

Majikan disaran buat pendaftaran peranan di sistem baharu e-PCB Plus

CYBERJAYA – Majikan yang sedang menggunakan sistem Potongan Cukai Bulanan (PCB) e-PCB, e-Data PCB dan e-CP39 diminta menyelesaikan semua pengemukaan data dan bayaran potongan bulan semasa atau potongan tahun kebelakangan, pada atau sebelum 15 Januari 2025.

Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dalam satu kenyataan hari ini berkata, langkah ini susulan pelaksanaan sistem perkhidmatan baharu, e-PCB Plus.

Sistem baharu ini akan menggabungkan semua sistem PCB sedia ada di bawah satu platform menerusi portal MyTax, dan semua majikan turut diminta untuk segera membuat pendaftaran peranan di sistem baharu tersebut.

“Pelaksanaan ini adalah seiring dengan pelaksanaan pelan peralihan ke arah sistem e-PCB Plus Fasa 1 yang telah bermula pada 24 September 2024 melibatkan fungsi pendaftaran peranan Majikan/Wakil Majikan/Pentadbir PCB di MyTax dan Wakil Pentadbir di e-PCB Plus bagi seluruh majikan yang terlibat dengan PCB.

“Susulan pelaksanaan sistem perkhidmatan baharu ini, majikan diminta untuk menyelesaikan semua pengemukaan data dan bayaran PCB bagi potongan bulan semasa atau potongan tahun kebelakangan pada atau sebelum 15 Januari 2025,” kata LHDN dalam kenyataan tersebut, hari ini.

Kata LHDN lagi, mulai 15 Januari depan, sistem PCB sedia ada hanya akan dibuka untuk tujuan paparan sahaja bagi membolehkan majikan membuat semakan terhadap maklumat/rekod PCB terdahulu.

“Fungsi lain seperti pengisian, pengiraan dan bayaran PCB akan ditutup sepenuhnya.

“Pelaksanaan sistem e-PCB Plus secara sepenuhnya akan dimaklumkan sebelum dibuka secara rasmi bagi kegunaan seluruh majikan dan pengguna,” katanya lagi.

Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut atau mempunyai sebarang pertanyaan, dijemput menghubungi LHDN menerusi Contact Centre (HCC) di talian 03-8911 1000 / 603-8911 1000 (Luar Negara); Live Chat (di portal MyTax); dan menerusi Borang Maklum Balas di portal rasmi HASiL di pautan pantas https://maklumbalaspelanggan.hasil.gov.my/Public/

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Facebook :Malaysia Tribune
X :@malaysiatribune
Instagram :@malaysiatribune
Threads :@malaysia.tribune
Youtube :Malaysia Tribune
TikTok : Malaysia Tribune
Whatsapp Channel :Malaysia Tribune
Telegram :Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button