PM gesa GLIC, GLC main peranan angkat pembangunan ekonomi Bumiputera
KUALA LUMPUR – Ketua-ketua Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC) dan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) perlu memainkan peranan utama dalam mengemukakan cadangan-cadangan bernas serta menggerakkan inisiatif yang berkaitan dengan pembangunan ekonomi Bumiputera.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, cabaran dan penegasan kepada GLIC serta GLC itu penting bagi memastikan agenda Bumiputera diangkat sebagai agenda nasional.
“Saya memberi penegasan dan cabaran kepada ketua-ketua GLIC dan GLC supaya memainkan peranan utama dalam mengemukakan cadangan-cadangan bernas serta mengerakkan prakarsa terkait pembangunan ekonomi Bumiputera,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook milik beliau semalam.
Terdahulu, Anwar yang juga Menteri Kewangan mempengerusikan Mesyuarat Majlis Ekonomi Bumiputera (MEB) Bilangan 1 Tahun 2025, semalam.
Beliau berkata, kertas-kertas terkait pemerkasaan syarikat Bumiputera dalam perolehan Kerajaan melalui Program mySTI dan halatuju pelaksanaan Wakaf MARA Madani adalah antara fokus mesyuarat itu.
“Sebagai platform tertinggi yang mengangkat agenda Bumiputera sebagai agenda nasional, MEB berperanan sebagai platform utama dalam memastikan segala perancangan yang direncanakan dalam Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (PuTERA35) dapat dipantau keberkesanan pelaksanaannya,” ujarnya.
X :@malaysiatribune
Instagram :@malaysiatribune
Threads :@malaysia.tribune
Youtube :Malaysia Tribune
TikTok : Malaysia Tribune
Whatsapp Channel :Malaysia Tribune
Telegram :Malaysia Tribune