Pesta Pulau Pinang tahun ini mungkin yang terakhir di Tapak Pesta Sungai Nibong
GEORGETOWN – Penganjuran Pesta Pulau Pinang bagi edisi tahun ini mungkin yang terakhir dianjurkan di Tapak Pesta Sungai Nibong.
Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, ini kerana sebahagian daripada kawasan itu terlibat dengan projek pembangunan Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Mutiara, Pulau Pinang.
“Tahun 2025 berkemungkinan menyaksikan penganjuran edisi terakhir Pesta Pulau Pinang di tapak yang bersejarah ini memandangkan sebahagian kawasan Tapak Pesta Sungai Nibong terlibat dengan projek pembangunan LRT Laluan Mutiara.
“Oleh itu, kita harus melihatnya sebagai satu langkah ke hadapan dalam menjadikan Pulau Pinang sebagai negeri yang lebih maju dan efisien.
“Sebagai keluarga Pulau Pinang, semangat dan tujuan pesta itu tidak akan pernah pudar walaupun lokasi penganjuran tidak lagi sama,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Pesta Pulau Pinang 2024/2025 di Tapak Pesta Sungai Nibong, di sini malam tadi.
Perasmian berkenaan disempurnakan Yang Dipertua Negeri Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak.
Hadir sama, Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid dan Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Zulkifli Long.
Chow seterusnya berkata, Pesta Pulau Pinang bukan sekadar lokasi sebaliknya ia adalah tentang keterbukaan masyarakat negeri sebagai komuniti yang sentiasa meraikan nilai kekeluargaan, budaya, perpaduan serta inovasi.
Bertemakan ‘Nostalgia Pesta’ dengan tagline ‘Dia Mai Dah!’, pesta yang berlangsung sejak 21 Dis lepas hingga 2 Feb itu menyasarkan kehadiran 500,000 pengunjung.
Setakat 4 Jan lalu, lebih 150,000 pengunjung telah direkodkan mengunjungi Pesta Pulau Pinang, dengan jumlah kutipan tiket sebanyak RM745,840.
X :@malaysiatribune
Instagram :@malaysiatribune
Threads :@malaysia.tribune
Youtube :Malaysia Tribune
TikTok : Malaysia Tribune
Whatsapp Channel :Malaysia Tribune
Telegram :Malaysia Tribune