Berita SemasaBisnes & Ekonomi

Perjanjian JS-SEZ: Malaysia, Singapura cipta persekitaran pelaburan stabil – Rafizi

KUALA LUMPUR – Perjanjian Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) membawa mesej yang jelas kepada dunia, iaitu Malaysia dan Singapura komited menyediakan persekitaran pelaburan yang stabil dan progresif.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, inisiatif tersebut jelas melambangkan hubungan erat dan kukuh antara kedua-dua negara, berteraskan asas saling menghormati dan cita-cita bersama.

“JS-SEZ adalah sebuah kerjasama unik yang jarang kita saksikan—dua negara jiran berganding bahu sebagai satu pasukan untuk mempromosi dan menarik pelaburan global.

“Melalui perjanjian ini, Malaysia dan Singapura menggabungkan kekuatan masing-masing untuk membangunkan sebuah zon ekonomi khas.

“Sumber tanah yang luas dan asas perindustrian Malaysia melengkapi kepakaran teknologi serta rangkaian kewangan Singapura, menjadikan JS-SEZ salah satu destinasi pelaburan paling menarik di dunia,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook milik beliau semalam.

JS-SEZ telah bermula secara rasmi semalam, yang menyaksikan kerjasama membabitkan dua negara sebagai satu pasukan dalam menarik pelaburan, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perjanjian itu melibatkan sembilan kawasan strategik—Pusat Bandar Johor Bahru, Iskandar Puteri, Tanjung Pelepas-Tanjung Bin, Pasir Gudang, Senai-Skudai, Sedenak, Forest City, Pengerang, dan Desaru.

Mengulas lanjut, Rafizi berkata, kesemua kawasan itu menawarkan peluang kepada perniagaan dalam 11 sektor utama, termasuk pembuatan, logistik, tenaga, serta ekonomi digital dan hijau.

Beliau berkata, dengan penyelarasan usaha, Malaysia dan Singapura bercita-cita untuk menarik pelaburan inovatif, mencipta 20,000 peluang pekerjaan berkemahiran tinggi, serta melaksanakan 100 projek berimpak tinggi dalam tempoh sepuluh tahun akan datang.

“Apa yang menjadikan JS-SEZ begitu istimewa ialah satu perjanjian yang melangkaui kerjasama dua hala. Ia mencerminkan visi bersama untuk memperluaskan semangat kerjasama ini ke rantau lain dan ASEAN,” katanya.

Tambah Rafizi, JS-SEZ membuka peluang kepada sebuah model perkongsian ekonomi yang bukan sahaja memperkukuh kedudukan kedua-dua negara, tetapi juga meningkatkan daya saing Asia Tenggara di peringkat global.

“Melalui JS-SEZ, Malaysia dan Singapura akan menetapkan tahap baharu dalam kerjasama ekonomi yang menonjolkan perpaduan, inovasi, dan cita-cita tinggi. Perjanjian ini bukan sekadar dokumen tetapi satu pelan tindakan untuk kesejahteraan semua.

“Semoga usaha kita ini diberkati bersama dan membawa limpahan manfaat ekonomi kepada rakyat Malaysia dan Johor,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Facebook :Malaysia Tribune
X :@malaysiatribune
Instagram :@malaysiatribune
Threads :@malaysia.tribune
Youtube :Malaysia Tribune
TikTok : Malaysia Tribune
Whatsapp Channel :Malaysia Tribune
Telegram :Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button