Berita SemasaDalam Negeri

Pelaksanaan Akta 588 penting demi ekosistem digital lebih selamat

PELAKSANAAN Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) yang merangkumi pelesenan platform media sosial mendapat reaksi positif dalam kalangan peserta Persidangan Kawal Selia Antarabangsa (IRC) 2025.

Inisiatif kerajaan itu ternyata disifatkan sebagai pendekatan berani dan progresif dalam usaha menangani cabaran ekosistem dalam talian yang semakin membimbangkan.

Nur Hanna Affifah Mohd Fazil, 21, pelajar jurusan Pengurusan Perniagaan dari Universiti Malaya berkata, langkah itu penting dalam meningkatkan ketelusan, memberi perlindungan dan menjamin keselamatan kepada pengguna.

Nur Hanna berharap pelaksanaan akta tersebut dapat membantu mengurangkan statistik jenayah siber di Malaysia. – Foto Najmi Zulkefle

“Sebagai pelajar, saya juga tidak terlepas daripada pelbagai risiko dan ancaman yang berlegar di media sosial.

“Bukan sahaja kes-kes jenayah yang semakin kerap kita dengar cabaran alam siber juga boleh memberi pelbagai tekanan sehingga ada yang bertindak di luar batas seperti bunuh dan bunuh diri,” katanya kepada Malaysia Tribune ketika ditemui pada persidangan anjuran Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) itu.

Oleh itu, beliau berharap pelaksanaan akta tersebut secara tidak langsung dapat membantu mengurangkan statistik jenayah siber di Malaysia.

Ditanya tentang penggunaan media sosial, Nur Hanna mengakui tidak pernah meninggalkan sebarang komen di mana-mana platform sekali pun.

“Saya memilih berbuat demikian kerana lebih selesa dengan skop hanya membaca dan melihat.

“Malah, jika saya nampak ada pengguna media sosial yang selalu menulis komen jelik dan bersifat kecaman, saya terus blok individu tersebut. Saya tidak mahu elemen negatif berada di sekeliling saya,” ujarnya.

Azatul Sheema memuji usaha proaktif kerajaan memperkenalkan peraturan tersebut demi keselamatan pengguna.

Sementara itu, bagi Azatul Sheema Abas, beliau memuji usaha proaktif kerajaan memperkenalkan peraturan tersebut sambil menekankan bahawa ia menjadi penanda aras dalam mengimbangi inovasi teknologi dengan keselamatan pengguna.

“Zaman sekarang, media sosial sangat memberi pengaruh terhadap generasi muda. Oleh itu, dengan pelaksanaan akta ini, diharap ia dapat mengekang pelbagai ancaman jenayah siber yang berleluasa di banyak platform,” ujarnya.

Azatul Sheema berkata, persidangan itu menjadi platform terbaik untuknya berjumpa rakan industri, pembuat dasar dan memberi cadangan di samping memahami usaha-usaha yang sedang dilaksanakan MCMC.

“Semoga acara ini akan terus diadakan dalam kalendar tahunan MCMC demi manfaat bersama,” katanya yang menyertai persidangan itu buat kali kedua.

Asmahani melahirkan harapan agar penyedia platform lebih bertanggungjawab terhadap produk mereka.

Seorang lagi peserta, Asmahani Muhammad melahirkan kelegaan apabila akta ini dikuatkuasakan.

“Apa yang berlaku dalam era digital kini sudah menjangkaui tanggapan kita sebelum ini. Sesiapa sahaja pada peringkat usia mana sekali pun boleh melihat apa yang diinginkan semudah di hujung jari.

“Akta dan garis panduan seperti ini sekurang-kurangnya dapat menjadikan penyedia platform lebih bertanggungjawab pada produk mereka.

“Dan semestinya peraturan itu sesuatu yang penting untuk mendidik khalayak agar lebih bertanggungjawab dalam menggunakan media sosial,” kata kakitangan Telekom Malaysia itu.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Facebook :Malaysia Tribune
X :@malaysiatribune
Instagram :@malaysiatribune
Threads :@malaysia.tribune
Youtube :Malaysia Tribune
TikTok : Malaysia Tribune
Whatsapp Channel :Malaysia Tribune
Telegram :Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button