Kematian wanita bersama bayi baharu lahir tiada unsur jenayah
KULAI – Polis tidak menemukan sebarang unsur jenayah dalam kes kematian seorang wanita bersama bayi baharu dilahirkan di tepi Jalan Impiana 5, Taman Impiana, Kelapa Sawit, di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Kulai, Asisten Komisioner Tan Seng Lee berkata, punca kematian dua beranak itu masih dalam proses siasatan.
“Bedah siasat telah selesai dan menurut doktor, punca kematian masih ‘pending’ (dalam siasatan). Tiada unsur jenayah,” katanya, hari ini.
Semalam, penduduk di taman berkenaan digemparkan dengan penemuan jasad wanita memeluk jasad seorang bayi dipercayai baru dilahirkan, oleh orang ramai yang sedang melalui kawasan tersebut pada pukul 8 pagi.
Siasatan awal polis tidak menemukan sebarang kecederaan luaran pada jasad wanita dan bayi itu manakala satu organ dipercayai uri turut ditemukan berhampiran kawasan itu.
Kes disiasat di bawah Seksyen 316 Kanun Keseksaan.
Mengulas lanjut, Seng Lee berkata, identiti wanita itu masih belum dikenalpasti dan jasad kedua-duanya kini ditempatkan di Jabatan Forensik, Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru.
Beliau turut meminta mana-mana saksi yang mempunyai maklumat mengenai kejadian untuk tampil memberi maklumat di balai polis terdekat atau menghubungi Pegawai Penyiasat Jenayah, Inspektor Arun Ramamoorthy di talian 013-3332385.
X :@malaysiatribune
Instagram :@malaysiatribune
Threads :@malaysia.tribune
Youtube :Malaysia Tribune
TikTok : Malaysia Tribune
Whatsapp Channel :Malaysia Tribune
Telegram :Malaysia Tribune