Titah Adendum: Fahmi minta tunggu keputusan mahkamah
KUALA LUMPUR – Semua pihak diminta menunggu keputusan mahkamah berhubung keputusan kewujudan Titah Adendum yang dikatakan membenarkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menjalani baki hukuman dalam tahanan rumah.
Mengulas mengenai pendirian kerajaan berhubung isu terbabit, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, sebarang perincian mengenai kes terbabit akan dikemukakan semasa perbicaraan.
“Sebarang perincian mengenai kes ini akan dikemukakan semasa perbicaraan di Mahkamah Tinggi memandangkan semalam Mahkamah Rayuan telah membuat keputusan (meluluskan permohonan Najib Razak),” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Persidangan Kawal Selia Antarabangsa 2025 (IRC 2025), di sini, hari ini.
Semalam, Najib Razak berjaya mendapat kebenaran memulakan prosiding semakan kehakiman bagi suatu perintah untuk memaksa kerajaan atau enam pihak lain menjawab dan mengesahkan kewujudan Titah Adendum pada Januari tahun lalu.
Titah Adendum berkenaan dikatakan diperkenan Yang di-Pertuan Agong ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang membolehkan bekas perdana menteri itu menjalani baki hukuman penjaranya di bawah tahanan rumah, bersabit kesalahan penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.
Melalui penghakiman majoriti 2-1 yang dibacakan Hakim Datuk Seri Mohd Firuz Jaffril, menyatakan bahawa mahkamah tidak boleh mengabaikan fakta dan bukti yang dikemukakan oleh perayu (Najib) dalam kes berkenaan.
Mengulas lanjut, Fahmi berkata, kerajaan hanya melaksanakan arahan Lembaga Pengampunan mengikut prosedur dokumen diterima yang menyatakan tiada tahanan rumah terhadap bekas perdana menteri itu.
Fahmi berkata, Kementerian Dalam Negeri (KDN) melalui Jabatan Penjara hanya berpandukan perintah pembebasan yang mempunyai cop mohor dan juga tandatangan Yang di-Pertuan Agong ketika itu, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
“Pihak KDN khusus Jabatan Penjara telah melaksanakan berpandukan perintah pembebasan yang dipunyai cop mohor dan juga tandatangan Yang Di-Pertuan Agong ke-16.
“Jadi berkaitan kes, kita serah kepada mahkamah kerana dari segi penjelasan proses itu telah dijelaskan prosesnya oleh Menteri Dalam Negeri semalam dan kita ikut prosesnya.
“KDN yang menerima perintah pembebasan itu, mereka ikut prosuder dokumen yang mereka terima dan berlandaskan undang-undang kerana sebarang perkara yang berkait arahan tersebut terbit daripada lembaga pengampunan berdasarkan Perlembagaan perkara 43,” jelas Fahmi.
X :@malaysiatribune
Instagram :@malaysiatribune
Threads :@malaysia.tribune
Youtube :Malaysia Tribune
TikTok : Malaysia Tribune
Whatsapp Channel :Malaysia Tribune
Telegram :Malaysia Tribune