![](https://i0.wp.com/malaysiatribune.news/wp-content/uploads/2025/01/Screenshot_20250107_163826_Firefox.jpg?resize=780%2C470&ssl=1)
Remaja 14 tahun mengaku tidak bersalah tikam ibu saudara
BUKIT MERTAJAM – Seorang remaja perempuan berusia 14 tahun dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini semalam atas tuduhan mencederakan ibu saudaranya dengan menikam mangsa menggunakan pisau.
Tertuduh bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mohd Harith Mohd Mazlan, lapor FMT.
Mengikut kertas pertuduhan, remaja itu didakwa dengan sengaja mencederakan mangsa menggunakan senjata berbahaya di sebuah rumah di Perai pada pukul 11.30 pagi, 3 Januari lalu.
Dia dituduh mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman tersebut, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Zulfadzly Hassan menawarkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin, namun peguam bela tertuduh, Muhaimin Hashim memohon jumlah jaminan lebih rendah atas alasan anak guamnya masih bersekolah dan di bawah umur.
Mahkamah kemudian menetapkan jaminan sebanyak RM3,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan agar tertuduh tidak mendekati atau mengganggu mangsa sehingga kes selesai.
Tarikh 20 Mac depan ditetapkan untuk sebutan semula kes bagi mendapatkan laporan forensik dan perubatan.
Sabtu lalu, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Helmi Ari berkata, siasatan awal mendapati remaja tersebut tinggal bersama ibu saudaranya sejak empat hari sebelum kejadian kerana menghadapi masalah keluarga.
“Dalam kejadian itu, mangsa cedera di bahagian perut selepas berlaku pertengkaran mulut antara mereka sebelum suspek bertindak menikam mangsa menggunakan pisau,” katanya.
X :@malaysiatribune
Instagram :@malaysiatribune
Threads :@malaysia.tribune
Youtube :Malaysia Tribune
TikTok : Malaysia Tribune
Whatsapp Channel :Malaysia Tribune
Telegram :Malaysia Tribune