Berita Semasa

PM Singapura disambut rasmi di Putrajaya

PUTRAJAYA – Perdana Menteri Singapura, Lawrence Wong diberi sambutan rasmi di Bangunan Perdana Putra, di sini hari ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyambut ketibaan beliau pada pukul 9.50 pagi, sebelum lagu kebangsaan kedua-dua negara dimainkan.

Hadir sama, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof serta anggota Jemaah Menteri.

Lawrence kemudian turut memeriksa pasukan Kawalan Kehormatan terdiri daripada 103 anggota dan tiga pegawai dari Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja.

Beliau dalam lawatan keduanya ke Malaysia sempena Sesi Pemukiman Pemimpin-Pemimpin Malaysia-Singapura Ke-11 (11th Malaysia-Singapore Leaders’ Retreat – ALR).

Lawtan beliau kali ini turut diiringi isteri, Loo Tze Lui; Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Perdagangan dan Industri, Gan Kim Yong dan beberapa Menteri lain.

Kedua-dua pemimpin dijangka mengadakan perbincangan bagi menilai kemajuan hubungan dua hala Malaysia-Singapura serta membincangkan isu serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama.

Kedua-dua pemimpin turut dijadualkan menyaksikan pertukaran Perjanjian Bersama Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (Joint Agreement on Johor-Singapore Special Economic Zone – JS-SEZ).

Selain itu, turut dijadualkan enam Memorandum Persefahaman (MoU) dan satu Surat Niat yang merangkumi pendidikan, wanita dan kebajikan sosial, perubahan iklim, penangkapan dan penyimpanan karbon, pembangunan bandar dan usaha memerangi jenayah rentas sempadan.

Sebagai negara jiran dan antara rakan utama dalam ASEAN, kedua-dua negara kekal sebagai rakan dagang kedua terbesar antara satu sama lain, dengan jumlah dagangan dua hala mencecah AS$78.59 bilion (RM360.12 bilion) dari Januari hingga November.

Tahun ini juga adalah ulang tahun ke-60 hubungan diplomatik antara kedua-dua negara.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Facebook :Malaysia Tribune
X :@malaysiatribune
Instagram :@malaysiatribune
Threads :@malaysia.tribune
Youtube :Malaysia Tribune
TikTok : Malaysia Tribune
Whatsapp Channel :Malaysia Tribune
Telegram :Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button