Jenayah & Mahkamah

Perbicaraan warga Israel miliki senjata api ditangguh ke minggu depan

KUALA LUMPUR – Perbicaraan kes lelaki warga Israel, Avitan Shalom atas dua pertuduhan memiliki 200 butir peluru dan memperdagangkan enam senjata api di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, ditangguhkan sekali lagi ke Isnin minggu depan.

Perbicaraan hari ini terpaksa ditangguhkan kerana tertuduh masih gagal mendapatkan perkhidmatan jurubahasa Ibrani

Hakim, Norina Zainol Abidin menetapkan tarikh baharu itu selepas peguam Avitan, Datuk Naran Singh memaklumkan bahawa anak guamnya memerlukan jurubahasa Ibrani sepanjang perbicaraan kes tersebut.

“Adalah hak tertuduh untuk diberikan tafsiran dalam bahasa yang difahaminya. Mahkamah akan memberikan satu lagi peluang untuk mencari jurubahasa Ibrani. Oleh itu, kes ini akan ditangguhkan ke Isnin depan,” kata Norina.

Terdahulu, Norina menegur Avitan kerana meminta jurubahasa Ibrani di saat akhir perbicaraan, memandangkan perkara itu tidak pernah dibangkitkan sebelum ini.

“Perbicaraan ini telah berlangsung hampir sembilan bulan dan anda diwakili peguam, namun isu jurubahasa tidak pernah dibawa ke perhatian mahkamah semasa pengurusan kes,” kata beliau.

“Isu permintaan anda untuk jurubahasa baharu hanya dibawa ke perhatian mahkamah pada saat-saat akhir, iaitu pada hari pertama perbicaraan (semalam), yang sepatutnya dimulakan,” kata hakim.

Mengikut pertuduhan pindaan pertama, Avitan didakwa memiliki sekotak Shell Shock NAS3 9mm mengandungi lapan butir peluru, tiga kotak Bullet Master Co Ltd mengandungi 150 butir peluru dan 42 butir peluru di dalam tiga senjata berlainan tanpa lesen atau permit senjata.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 yang membawa hukuman penjara tidak melebihi tujuh tahun atau denda tidak melebihi RM10,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 7(1) Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 yang membawa hukuman penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak lebih 40 tahun serta sebatan tidak kurang enam kali, jika sabit kesalahan.

Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan di dalam sebuah bilik hotel di Jalan Ampang, di sini antara 6.46 petang pada 26 Mac dan 6 petang pada 28 Mac tahun lepas.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Facebook :Malaysia Tribune
X :@malaysiatribune
Instagram :@malaysiatribune
Threads :@malaysia.tribune
Youtube :Malaysia Tribune
TikTok : Malaysia Tribune
Whatsapp Channel :Malaysia Tribune
Telegram :Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button