Maritim Kelantan gagalkan cubaan seludup 21 juta batang rokok
PASIR PUTEH – Taktik licik sebuah vesel nelayan asing (VNA) cuba menyeludup masuk lebih 21 juta batang rokok putih tidak bercukai ke perairan negara gagal selepas dicekup Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) pada 4 Januari lalu.
Dalam operasi sekitar pukul 1.30 petang itu, bot peronda mengesan vesel mencurigakan tanpa nombor pendaftaran pada kedudukan 17 batu nautika dari Pengkalan Kubor, dalam rondaan Op Naga Barat, Op Damai dan Op Tiris.
Pengarah Maritim Kelantan, Kepten Maritim Erwan Shah Soahdi berkata, anggota penguat kuasa bertindak pantas menghentikan vesel berkenaan yang cuba melarikan diri ke perairan Thailand.
“Pemeriksaan mendapati vesel itu membawa 2,105 peti berisi rokok putih tidak bercukai bernilai RM1.7 juta dengan anggaran cukai sebanyak RM13.8 juta. Vesel juga telah diubah suai menjadi bot kargo untuk tujuan penyeludupan,” katanya.
Menurutnya, tujuh kru warganegara Thailand berusia 21 hingga 47 tahun turut ditahan, di mana lima daripada mereka memiliki dokumen pengenalan diri meragukan manakala dua lagi tiada dokumen sah.
“Saringan air kencing menunjukkan empat kru positif dadah jenis methamphetamine,” katanya.
Nilai keseluruhan tangkapan, termasuk vesel yang diubah suai dianggarkan bernilai RM16.5 juta.
Kes disiasat mengikut Akta Kastam 1967, Akta Imigresen 1959/63, Akta Perikanan 1985, Ordinan Perkapalan Saudagar 1952, dan Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Maritim Malaysia akan terus memperketatkan rondaan di sempadan perairan bagi mengekang aktiviti jenayah seperti penyeludupan,” katanya.
Sebelum ini, Maritim Negeri Kelantan merekodkan kejayaan besar menggagalkan aktiviti jenayah penyeludupan di perairan Malaysia-Thailand, sekali gus membuktikan komitmen penuh agensi itu terhadap keselamatan maritim negara.
X :@malaysiatribune
Instagram :@malaysiatribune
Threads :@malaysia.tribune
Youtube :Malaysia Tribune
TikTok : Malaysia Tribune
Whatsapp Channel :Malaysia Tribune
Telegram :Malaysia Tribune