IRC 2025: Malaysia perkukuh kedudukan peneraju teknologi digital
KUALA LUMPUR – Persidangan Kawal Selia Antarabangsa (IRC) 2025 membolehkan Malaysia terus mengukuhkan kedudukan sebagai peneraju dalam inovasi teknologi dan peraturan digital.
IRC 2025 yang dianjurkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dilancarkan secara rasminya oleh Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil di Hotel Grand Hyatt di sini, hari ini.
Acara tersebut berjaya menarik perhatian pemimpin industri, pembuat dasar dan pakar global dari Asia Tenggara, Australia, Amerika Syarikat, Arab Saudi dan lain-lain.
Bertemakan Leaping Into the Quantum Frontier: Regulation and Innovation in the Tech Era (Meneroka Sempadan Kuantum: Peraturan dan Inovasi Dalam Era Teknologi), IRC 2025 mengetengahkan perbincangan tentang keseimbangan antara kemajuan teknologi dan tanggungjawab peraturan.
Persidangan itu juga menjadi platform penting bagi membincangkan cabaran dan peluang dalam landskap digital yang kian berkembang pesat.
Fahmi dalam ucapan perasmiannya menegaskan Malaysia sentiasa komited untuk melaksanakan rangka kerja peraturan yang berpandangan jauh.
“Dalam era saling berhubungan masa kini, adalah menjadi tanggungjawab bersama untuk memastikan kemajuan teknologi kekal berpusatkan manusia dan inklusif selain mengimbangi kemajuan dengan perlindungan,” ujar beliau.
IRC 2025 turut menekankan keperluan mendesak untuk tindakan kolektif dalam menangani ancaman digital seperti penipuan dalam talian, judi atas talian, penderaan seksual kanak-kanak dan serangan keselamatan siber.
“Fokus utama adalah untuk mencegah risiko tersebut melalui langkah-langkah kukuh yang dapat melindungi pengguna dan membina ekosistem digital lebih selamat serta berdaya tahan.
“Menerapkan inovasi memerlukan tumpuan terhadap keselamatan siber, privasi data dan akses yang saksama. Teknologi harus kekal menjadi kuasa untuk kebaikan dalam dunia yang saling terhubung,” tambah beliau lagi.
Sementara itu, sebagai Pengerusi ASEAN 2025, Malaysia mengulangi komitmennya untuk menyelaraskan peraturan serantau demi memaksimumkan manfaat kemajuan teknologi.
“Langkah-langkah proaktif seperti menangani aduan berkaitan penipuan dan memperkenalkan Kod Etika untuk Penyedia Perkhidmatan Pesanan Internet dan Media Sosial menunjukkan kesungguhan negara dalam mempromosi ketelusan dan akauntabiliti bagi menjamin keselamatan pengguna media sosial,” tegasnya.
Persidangan dua hari itu memberi tumpuan kepada tema utama seperti tadbir urus media sosial, daya tahan keselamatan siber dan potensi transformasi teknologi baharu seperti kecerdasan buatan (AI), blockchain dan pengkomputeran kuantum.
Perbincangan dan sesi dialog bertujuan mencapai keseimbangan antara inovasi dan perlindungan pengguna sambil menggalakkan kepercayaan serta kerjasama global.
Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Ancaman Dalam Talian dan Keselamatan Maklumat MCMC, Derek Fernandez berkata, penganjuran IRC 2025 ini turut diiktiraf sebagai langkah penting dalam menyokong pelaksanaan akta pelesenan media sosial yang dikuatkuasakan pada 1 Januari lalu.
“Melalui pelaksanaan akta ini, MCMC berharap penyedia platform yang terlibat dapat membantu kerajaan memerangi ancaman dalam talian sekali gus mengurangkan kadar jenayah siber demi mewujudkan persekitaran digital yang selamat dan harmoni,” katanya.
Apa yang pasti, pelaksanaan IRC 2025 mencerminkan usaha berterusan Malaysia untuk menjadi hab inovasi teknologi dan peraturan digital.
Dengan penekanan terhadap keselamatan pengguna, privasi data dan kolaborasi serantau, Malaysia berharap dapat mencipta ekosistem digital yang lebih selamat, mampan dan inklusif untuk semua.
Persidangan ini juga menjadi bukti dedikasi negara dalam mendepani cabaran era digital sambil memanfaatkan teknologi untuk kebaikan bersama.
IRC 2025 bukan sahaja membuka ruang untuk perbincangan penting tetapi juga menetapkan asas untuk masa depan digital yang lebih cerah.
X :@malaysiatribune
Instagram :@malaysiatribune
Threads :@malaysia.tribune
Youtube :Malaysia Tribune
TikTok : Malaysia Tribune
Whatsapp Channel :Malaysia Tribune
Telegram :Malaysia Tribune