6 pegawai, 2 ejen ditahan SPRM disyaki terlibat sindiket lulus kenderaan berat
PUTRAJAYA – Lapan individu termasuk enam pegawai pemeriksa kenderaan diberkas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana dipercayai terbabit dalam sindiket meluluskan pemeriksaan kenderaan berat di sebuah pusat pemeriksaan kenderaan di ibu negara.
Sumber memaklumkan, kesemua suspek lelaki berusia antara 30 hingga 50-an itu ditahan semalam antara pukul 12 tengah hari hingga 11 malam ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya.
Sumber memaklumkan, penahanan dibuat susulan soal siasat terhadap seorang ejen yang sebelum ini diserahkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) kepada SPRM.
“Keenam-enam pegawai pemeriksa kenderaan itu bagaimanapun dibebaskan dengan jaminan SPRM selepas keterangan mereka selesai diambil,” katanya.
Dua lagi individu yang ditahan dikenakan perintah reman selama lima hari bermula hari ini hingga 11 Januari 2025.
Perintah itu dikeluarkan Majistret Irza Zulaikha selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya, pagi tadi.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya, ketika dihubungi mengesahkan tangkapan itu dan memaklumkan kes disiasat mengikut Seksyen 16(b)(A) Akta SPRM 2009.
“Setakat ini, sembilan individu telah ditahan berkaitan kes ini, dan kami tidak menolak kemungkinan akan ada beberapa lagi tangkapan susulan dalam masa terdekat bagi membantu siasatan,” katanya.
SPRM menegaskan pihaknya komited memerangi rasuah dan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang terlibat dalam aktiviti yang melanggar undang-undang.
X :@malaysiatribune
Instagram :@malaysiatribune
Threads :@malaysia.tribune
Youtube :Malaysia Tribune
TikTok : Malaysia Tribune
Whatsapp Channel :Malaysia Tribune
Telegram :Malaysia Tribune