Berita Semasa

SPRM tingkat latihan pegawai, perkemas strategi banteras rasuah

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) komited memperkukuh pendidikan, pengetahuan dan kemahiran pegawainya melalui latihan berkala sebagai usaha memenuhi tuntutan negara dan harapan masyarakat terhadap agensi itu.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, latihan tersebut akan memberi fokus kepada persediaan pegawai dalam menghadapi pelbagai situasi terutama dalam era pendigitalan dan kecerdasan buatan (AI).

“SPRM akan memberi tumpuan kepada kesiapsiagaan pegawai untuk berdepan apa jua keadaan, selari dengan hala tuju kerajaan, terutamanya dalam aspek pendigitalan dan kecerdasan buatan.

“Pegawai SPRM juga perlu bertindak proaktif dalam operasi bagi menangani isu rasuah secara berkesan dan berimpak tinggi,” katanya pada satu hantaran di Facebook semalam.

Menurut Azam, tindakan proaktif tersebut turut perlu disertai usaha pencegahan melalui pendekatan tatakelola dan pendidikan antirasuah kepada kumpulan sasar yang tepat.

“Langkah itu bukan sahaja meningkatkan kesedaran, malah mampu memupuk nilai integriti dalam masyarakat,” katanya lagi.

Selain itu, beliau berkata, SPRM sedang menilai semula prosedur operasi standard (SOP) dan memperbaharui strategi pelaksanaan tugas bagi mengekalkan kecemerlangan serta prestasi sedia ada.

“Inisiatif ini penting bagi memastikan SPRM terus relevan dan berkesan dalam membanteras gejala rasuah yang semakin mencabar,” katanya lagi.

Komitmen itu dilihat selaras dengan usaha kerajaan untuk mengukuhkan institusi dan memastikan negara bebas daripada amalan rasuah.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Facebook :Malaysia Tribune
X :@malaysiatribune
Instagram :@malaysiatribune
Threads :@malaysia.tribune
Youtube :Malaysia Tribune
TikTok : Malaysia Tribune
Whatsapp Channel :Malaysia Tribune
Telegram :Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button