Jenayah & Mahkamah

Titah adendum: Bukan PM tapi Peguam Negara yang harus jawab

PUTRAJAYA – Keputusan Mahkamah Rayuan yang membenarkan Datuk Seri Najib Tun Razak memulakan prosiding semakan keputusan Mahkamah Tinggi berhubung penolakan permohonannya untuk menjalani baki hukuman penjara enam tahun di bawah tahanan rumah membuktikan prinsip pemisahan kuasa berjalan baik di Malaysia.

Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, kredit atau pujian wajar diberi kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang berulang kali menegaskan bahawa kerajaan dan beliau tidak boleh menggangu perjalanan prosiding mahkamah dan keputusan hakim-hakim.

“Oleh kerana Najib telah mengemukakan permohonan pengampunan kepada Lembaga Pengampunan yang dipengerusikan oleh Yang Dipertuan Agong maka Anwar bukanlah pihak yang terlibat secara langsung tentang keputusan Lembaga Pengampunan itu.

“Begitu juga apabila Najib tidak berpuas hati dengan keputusan Lembaga Pengampunan dan beberapa pihak lain dalam kerajaan termasuk Menteri Dalam Negeri dan Peguam Negara berkait isu titah adendum dan memfailkan semakan kehakiman di mahkamah maka ia sudah menjadi kes mahkamah.

“Anwar secara peribadi dan sebagai Perdana Menteri tidak boleh menjawab secara sewenang-wenang sama ada titah adendum itu ada atau tidak ada,” katanya dalam satu hantaran dalam laman Facebooknya.

Hassan berkata, pihak yang patut menjawab di mahkamah bukan Anwar tetapi Peguam Negara atau wakilnya daripada Jabatan Peguam Negara.

“Hal ini telah ditimbulkan oleh salah seorang hakim Mahkamah Rayuan yang mendengar rayuan Najib pada 6 Januari, pagi tadi. Seperti yang disebut oleh hakim berkenaan, bahawa pihak Jabatan Peguam Negara telah gagal memfailkan affidavit untuk menyatakan sama ada titah adendum itu wujud atau tidak.

“Kegagalan Jabatan Peguam Negara itu tidak sepatutnya dibebankan ke bahu Perdana Menteri untuk memikulnya.

“Jadi Anwar tidak bersalah. Beliau tidak perlu meletakkan jawatan Perdana Menteri seperti yang dituntut oleh sesetengah pihak. Sebaliknya sikap dan pendirian Anwar yang menghormati kebebasan kehakiman dalam soal titah adendum ini patut dihormati dan dipuji,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Facebook :Malaysia Tribune
X :@malaysiatribune
Instagram :@malaysiatribune
Threads :@malaysia.tribune
Youtube :Malaysia Tribune
TikTok : Malaysia Tribune
Whatsapp Channel :Malaysia Tribune
Telegram :Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button