Shafee dakwa ada pihak cuba sembunyikan Titah Adendum YDPA ke-16
PUTRAJAYA – Titah Adendum Yang di-Pertuan Agong (YDPA) ke-16 yang membenarkan Datuk Seri Najib Razak untuk menjalani baki hukuman penjara di bawah tahanan rumah telah disembunyikan pihak tertentu, kata Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah.
Tegas Muhammad Shafee, sepucuk surat rasmi daripada Majlis Kesultanan Pahang, yang dikemukakan di Mahkamah Rayuan hari ini, telah menangkis dakwaan sebelum ini yang mengatakan bahawa Titah Adendum tersebut hanyalah sekadar ‘khabar angin’.
Justeru itu, Shafee mahu pihak yang menyembunyikan titah Yang di-Pertuan Agong ke-16 itu dihukum, memandangkan ia adalah perbuatan jenayah.
“Kejujuran adalah tonggak sesebuah kerajaan dalam pemerintahan negara tapi dalam isu titah adendum ini, ia tidak ada ketelusan.
“Pihak yang melakukan perbuatan ini sebenarnya telah melakukan kesalahan jenayah dan perlu dihukum.
“Pihak ini juga mempunyai niat tertentu untuk memastikan Datuk Seri Najib terus dipenjarakan untuk selamanya. Tindakan ini juga boleh dianggap sebagai penyalahgunaan kuasa,” katanya dalam satu sidang media di Istana Kehakiman hari ini.
Sepucuk surat yang merupakan dokumen baharu dalam kes rayuan Najib berkaitan titah itu bertarikh 4 Januari 2024, dihantar kepada anak sulung Najib, Datuk Mohamad Nizar oleh Pengelola Bijaya Diraja Ke-Bawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Datuk Ahmad Khirrizal Ab Rahman.
Surat berkenaan memaklumkan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah selaku Yang di-Pertuan Agong ke-16 telah menitahkan supaya Najib menjalani baki hukuman pemenjaraan menerusi penahanan dalam rumah (house arrest) melalui titah adendum bertarikh 29 Januari 2024.
Terdahulu, Mahkamah Rayuan hari ini memerintahkan agar kes pengesahan kewujudan Titah Adendum bagi tahanan rumah membabitkan Najib dikembalikan ke Mahkamah Tinggi.
Keputusan majoriti 2 -1 dibuat Hakim Datuk Azhahari Kamal Ramli dan Datuk Seri Mohd Firuz Jaffril memerintahkan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk mendengar merit semakan kehakiman yang dikemukakan bekas perdana menteri itu, manakala Hakim Datuk Azizah Nawawi yang mengetuai panel menentangnya.
Najib yang sedang menjalani hukuman di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022 selepas disabitkan kesalahan menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd, sebelum ini memfailkan petisyen untuk pengampunan diraja pada 2 September 2022.
Lembaga Pengampunan kemudiannya mengurangkan hukuman penjara Najib daripada 12 tahun kepada enam tahun, manakala denda dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.
X :@malaysiatribune
Instagram :@malaysiatribune
Threads :@malaysia.tribune
Youtube :Malaysia Tribune
TikTok : Malaysia Tribune
Whatsapp Channel :Malaysia Tribune
Telegram :Malaysia Tribune