PM mahu tiada kawasan, negeri tertinggal dalam TMM2026
SEPANG – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu tiada kawasan atau negeri yang tersisih dan tertinggal dalam Kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026).
Sehubungan itu, beliau mengarahkan semua kementerian supaya memberi tumpuan meningkatkan keupayaan Malaysia dalam bidang pelancongan, pelaburan dan ekonomi.
“TMM2026 adalah satu pendekatan baharu dalam menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan yang utama dan ini bermulanya satu inisiatif, ikhtiar supaya betul-betul mencatat pertumbuhan pelancongan ke seluruh negara.
“Saya minta semua kementerian memberikan tumpuan supaya Malaysia dapat meningkatkan keupayaan bidang pelancongan dan tentunya pelaburan serta ekonomi supaya tidak ada kawasan atau negeri yang tersisih dan tertinggal,” katanya.
Anwar berkata demikian dalam ucapannya ketika merasmikan Majlis Peluncuran Kempen TMM2026, di sini hari ini.
Hadir sama, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof, serta Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing.
Anwar seterusnya berkata, unjuran pendapatan sebanyak RM147.1 bilion yang bakal dijana termasuk sasaran kehadiran 35.6 juta pelancong menerusi TMM2026 mampu dicapai dengan pembabitan semua pihak.
“TMM2026 dijangka menjadi platform penting dalam memacu sektor pelancongan dan ekonomi negara ke tahap yang lebih tinggi,” katanya lagi.
X :@malaysiatribune
Instagram :@malaysiatribune
Threads :@malaysia.tribune
Youtube :Malaysia Tribune
TikTok : Malaysia Tribune
Whatsapp Channel :Malaysia Tribune
Telegram :Malaysia Tribune