Nikmati steamboat di rumah, erat silaturrahim keluarga
KESIBUKAN menjalani rutin harian sering membuatkan masa berkualiti bersama keluarga yang menjadi suatu keutamaan diabaikan.
Apatah lagi jika kedua-dua suami isteri mempunyai kerjaya masing-masing, sudah tentu masa yang ada banyak dihabiskan di pejabat atau di tempat kerja.
Namun, jangan jadikan situasi tersebut sebagai alasan untuk anda tidak melakukan aktiviti bersama keluarga.
Salah satu cara terbaik mengeratkan hubungan kekeluargaan adalah melalui aktiviti makan bersama yang bukan sekadar memenuhi keperluan fizikal tetapi juga menjadi ruang untuk membina kasih sayang dan memahami antara satu sama lain.
Menikmati hidangan seperti steamboat di rumah misalnya, menawarkan suasana santai dan menyeronokkan di mana setiap ahli keluarga boleh berkongsi cerita sambil memasak bersama.
Dengan pelbagai pilihan bahan dan kreativiti dalam menyediakan hidangan, aktiviti ini pasti mencipta kenangan indah yang akan dikenang sepanjang hayat.
Ini yang penulis alami pada cuti tahun baru tempoh hari.
Berpeluang menikmati keenakan steamboat bersama adik beradik di kampung, membuatkan hati terasa gembira dan bahagia.
Gembira apabila dapat berkumpul bersama mereka dan bahagia apabila masing-masing tidak lokek mengeluarkan belanja untuk menjamu ahli keluarga.
Teringat penulis akan satu hadis Nabi SAW yang bermaksud:
“Satu dinar yang engkau belanjakan di jalan Allah, satu dinar yang engkau belanjakan untuk memerdekakan hamba, satu dinar yang engkau sedekahkan kepada orang miskin dan satu dinar yang engkau belanjakan kepada keluargamu, yang paling besar pahalanya ialah yang engkau belanjakan kepada keluargamu.” (Hadis Riwayat Muslim)
Apa yang pasti, menikmati hidangan steamboat di rumah mampu memberi keseronokan buat semua.
Malah tanpa perlu mengeluarkan belanja besar untuk makan di luar, anda boleh duduk bersama berkongsi cerita dan meluangkan masa dengan sebaiknya.
Berikut kami kongsikan beberapa tips sebagai persiapan melakukan aktiviti ini:
1. Pilihan peralatan yang sesuai
– Gunakan periuk elektrik atau periuk khas steamboat yang terbahagi kepada dua bahagian.
– Ia membolehkan kita menyediakan variasi kuah seperti tomyam, oden atau sup ayam sebagai pilihan untuk dinikmati.
2. Penyediaan bahan
– Sediakan bahan-bahan segar seperti makanan laut iaitu udang, sotong, ketam atau isi ikan.
– Jika ada ahli keluarga yang mengalami alahan terhadap seafood, pastikan ada kuah khas buat mereka menggunakan periuk berasingan bagi mengelakkan simpton alahan yang serius.
– Boleh juga sediakan hirisan nipis daging lembu, ayam atau kambing
– Jangan lupa beli bebola ikan, sotong dan ketam sebagai tambahan untuk anak-anak.
– Sayuran seperti sawi, variasi cendawan, jagung muda, brokoli dan kubis Cina.
– Mi dan bihun juga boleh disediakan sebagai pelengkap hidangan.
3. Sos dan condiments
– Sediakan pelbagai jenis sos seperti sos cili Thai, sos mayonis Vietnam, kicap pedas atau sambal belacan untuk mencipta rasa unik mengikut selera masing-masing.
4. Susun atur meja
– Letakkan semua bahan di atas meja dalam bekas berasingan supaya mudah diambil.
– Pastikan ruang cukup luas untuk semua ahli keluarga berkumpul dengan selesa.
Jadi apa lagi, jom nikmati steamboat di rumah anda untuk eratkan silaturrahim seisi keluarga. Selamat mencuba.
X :@malaysiatribune
Instagram :@malaysiatribune
Threads :@malaysia.tribune
Youtube :Malaysia Tribune
TikTok : Malaysia Tribune
Whatsapp Channel :Malaysia Tribune
Telegram :Malaysia Tribune