Inisiatif Kampung Digital Melaka peneraju pembangunan Sistem Alamat Nasional
KUALA LUMPUR – Inisiatif Kampung Digital Melaka (KDM) akan menjadi peneraju kepada pembangunan Sistem Alamat Nasional (NAS) yang bakal dibangunkan di peringkat nasional.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, KDM merupakan satu inisiatif strategik kerajaan negeri untuk memastikan setiap premis di Melaka dilengkapi dengan alamat yang lengkap dan sistematik.
“(Sehubungan itu) MCMC (Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia) akan bekerjasama (dengan kerajaan negeri Melaka) dalam aspek sokongan teknikal di samping perkongsian maklumat dan data untuk pelaksanaan NAS (nanti).
“Dengan adanya NAS kelak, ia akan menjadi sistem tunggal yang berautoriti, seragam dan berpusat untuk mengurus lebih daripada 12 juta alamat di seluruh negara melalui kerjasama antara pelbagai pihak,” kata Fahmi.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar bersama Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh selepas Majlis Pertukaran Dokumen Perjanjian Inisiatif Kampung Digital Melaka antara MCMC dengan kerajaan negeri Melaka, hari ini.
Dalam majlis itu, MCMC diwakili pengerusinya, Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din manakala kerajaan negeri diwakili Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Azhar Arshad.
Perjanjian ini akan menjadi pemangkin kepada pembangunan teknologi dan infrastruktur digital yang lebih mampan di Melaka, serta memberi manfaat besar kepada komuniti setempat.
Sementara itu, Ab Rauf berkata, pelaksanaan KDM tidak terhad kepada alamat rumah semata-mata tetapi juga meliputi aspek pertanian, ekonomi dan juga percukaian.
“Kita akan digitalkan segala aspek di Melaka, termasuk haiwan ternakan.
“Ini bagi memudahkan PBT (pihak berkuasa tempatan) melakukan pemantauan ke atas haiwan ternakan, contohnya yang berkeliaran.
“Sebelum ini, sukar kita nak kesan tuannya, tapi menerusi pendigitalan, kita akan dapat laksanakan pengesanan dengan mudah,” katanya.
X :@malaysiatribune
Instagram :@malaysiatribune
Threads :@malaysia.tribune
Youtube :Malaysia Tribune
TikTok : Malaysia Tribune
Whatsapp Channel :Malaysia Tribune
Telegram :Malaysia Tribune