IKMa, ANGKASA bantu ringankan beban mangsa banjir
TANJUNG MALIM – Institut Koperasi Malaysia (IKMa) dan Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) meneruskan misi tanggungjawab sosial koperasi (CSR) dengan membersih kawasan dan menyampaikan bantuan kepada komuniti terjejas di sekitar Kampung Orang Asli (KOA) Chinggung di sini.
Ketua Pengarah IKMa, Datuk Mohd Ali Mansor berkata, misi bantuan banjir kali ini telah disertai oleh seramai 50 kakitangan IKMa dan ANGKASA.
“Sumbangan bantuan banjir berupa bekalan makanan asas telah diagihkan kepada 140 orang mangsa banjir sekitar KOA Chinggung.
“IKMa dan ANGKASA cukup prihatin dan proaktif untuk menghulurkan bantuan serta sumbangan dalam usaha meningkatkan kesejahteraan dan membantu komuniti yang terjejas termasuklah dengan menyantuni kawasan perkampungan orang asal.
“Selain berfungsi sebagai khidmat tanggungjawab sosial, program ini juga dapat menerapkan sifat empati dan menzahirkan semangat kemanusian dalam kalangan warga kerja IKMa dan ANGKASA untuk membantu Keluarga Malaysia yang terjejas dan ditimpa musibah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Misi bantuan itu turut disertai oleh Ahli Lembaga Pengarah IKMa merangkap Pengerusi Koperasi Orang Asli Perak, Datuk Suki Mee dan Timbalan Ketua Pengarah Pengurusan IKMa, Hamidah Mohd Jos.
Dalam pada itu katanya, penganjuran program CSR IKMa-ANGKASA itu adalah selari dengan seruan kerajaan untuk menggalakkan lebih banyak jabatan dan agensi di bawah kementerian masing-masing membantu masyarakat yang terjejas akibat banjir.
Katanya, sumbangan itu juga adalah cerminan keprihatinan sektor koperasi terhadap masyarakat Malaysia dan diharap dapat meringankan beban kewangan serta emosi yang perlu dipikul pasca bencana.
X :@malaysiatribune
Instagram :@malaysiatribune
Threads :@malaysia.tribune
Youtube :Malaysia Tribune
TikTok : Malaysia Tribune
Whatsapp Channel :Malaysia Tribune
Telegram :Malaysia Tribune