Tuduhan UMNO takut DAP: Howard Lee persoal kenyataan Tuan Ibrahim
IPOH – Kenyataan Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man yang mendakwa UMNO ‘takut kepada batuk kecil DAP’ menimbulkan kritikan hebat.
Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat DAP, Howard Lee berkata, tuduhan itu bukan sahaja tidak berasas malah berpotensi mencemarkan imej institusi diraja dan pihak berkuasa.
“Keputusan UMNO untuk mematuhi titah Yang di-Pertuan Agong dan saranan Ketua Polis Negara tidak wajar ditafsir sebagai tindakan pengecut.
“Jika mengikut logik dangkal Tuan Ibrahim bermakna baginda Agong dan Ketua Polis Negara juga tergolong dalam golongan pengecut.
“Tuduhan sebegini tidak boleh diterima dan amat tidak bertanggungjawab,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Howard, PAS dilihat cuba mencipta naratif politik sempit dengan memutar belit isu tersebut.
“Mematuhi titah baginda dan menjaga ketenteraman awam adalah keutamaan negara, bukan soal takut kepada mana-mana pihak.
“Tuduhan Tuan Ibrahim itu hanya menunjukkan kecetekan pemahaman politik beliau,” katanya lagi.
Tambah Howard, titah Yang di-Pertuan Agong menekankan keadilan dan kesaksamaan khususnya dalam isu-isu yang dibawa kepada Lembaga Pengampunan.
“Baginda tidak pernah tunduk kepada mana-mana parti politik. Naratif ‘takut DAP’ ini hanya memperlekehkan kebijaksanaan baginda serta institusi negara,” ujarnya.
Howard turut menasihati Tuan Ibrahim supaya lebih berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan yang boleh mengelirukan rakyat.
“Jika mahu berpolitik, lakukan secara bijak tanpa mengundang penghinaan terhadap pihak istana atau keselamatan negara,” katanya lagi.
Kenyataan Tuan Ibrahim sebelum ini mencetuskan perdebatan dengan pihak tertentu melihat ia sebagai usaha PAS untuk menyerang UMNO sambil mengalihkan perhatian daripada isu-isu lain.
Perkembangan itu dijangka terus menjadi perbincangan hangat, terutamanya apabila ia melibatkan kredibiliti Institusi Diraja dan keselamatan awam yang menjadi tunjang keharmonian negara.
X :@malaysiatribune
Instagram :@malaysiatribune
Threads :@malaysia.tribune
Youtube :Malaysia Tribune
TikTok : Malaysia Tribune
Whatsapp Channel :Malaysia Tribune
Telegram :Malaysia Tribune