Luar Negara

Ribut musim sejuk landa AS: jutaan terjejas, ancaman cuaca ekstrem

WASHINGTON – Ribut musim sejuk yang kuat melanda bahagian tengah Amerika Syarikat (AS) semalam menyebabkan jutaan penduduk di kawasan timur negara itu berdepan ancaman salji tebal, ais berbahaya dan suhu beku.

Amaran cuaca dikeluarkan di kawasan dari barat Kansas hingga ke pesisir Maryland, Delaware dan Virginia melibatkan kawasan sepanjang 2,400 kilometer.

Ribut itu dijangka menyebabkan separuh daripada kawasan timur AS mengalami cuaca ekstrem umpama wilayah kutub sehingga Isnin dengan gangguan perjalanan yang besar.

Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan (NWS) memberi amaran bahawa ribut itu bakal membawa salji lebat dan pengumpulan ais yang tebal.

“Ribut musim sejuk yang ketara dijangka memberi kesan besar dari Central Plains ke Mid-Atlantic sehingga Isnin,” menurut laporan terkini NWS.

Syarikat ramalan cuaca AccuWeather berkata, Lapangan Terbang Antarabangsa Kansas City telah menutup operasinya pada semalam akibat pengumpulan ais yang cepat.

“Di timur negeri New York dan Pennsylvania, salji setinggi 61 sentimeter (sm) dijangka turun dengan beberapa kawasan lain diramalkan menerima tambahan salji sehingga 122sm,” katanya lagi.

NWS turut melaporkan bahawa salji tebal lebih 38sm dijangka melanda timur laut Kansas ke utara Missouri yang disifatkan sebagai ribut salji terburuk dalam sedekad.

Ibu negara AS, Washington dijangka dilitupi salji setebal 12 hingga 25sm, manakala suhu di beberapa kawasan diramalkan jatuh sehingga -18 darjah Celsius.

Tiupan angin kencang dijangka menambahkan risiko, dengan suhu jauh lebih rendah daripada kebiasaan.

Hujan batu turut diramal melanda kawasan dari Kansas hingga Kentucky dan Virginia menjadikan jalan raya dilitupi ais, pokok tumbang dan talian elektrik terputus, sekali gus berpotensi meninggalkan jutaan penduduk tanpa bekalan elektrik ketika suhu sejuk melanda.

Gabenor Missouri dan Virginia mengisytiharkan darurat di negeri masing-masing manakala Gabenor Kentucky, Andy Beshear, memberi amaran bahawa ribut itu akan menyebabkan gangguan besar.

“Ribut dijangka menyebabkan gangguan besar dan keadaan berbahaya di jalan raya serta gangguan elektrik yang ketara hanya 24 jam sebelum suhu menjadi sangat sejuk di Kentucky,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Penduduk di kawasan terjejas dinasihatkan bersiap sedia menghadapi cuaca buruk itu yang dijangka berlanjutan hingga awal minggu depan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Facebook :Malaysia Tribune
X :@malaysiatribune
Instagram :@malaysiatribune
Threads :@malaysia.tribune
Youtube :Malaysia Tribune
TikTok : Malaysia Tribune
Whatsapp Channel :Malaysia Tribune
Telegram :Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button