PRO-NET lancar I-GREEN Premium Showroom, tawar Proton e.MAS 7
KUALA LUMPUR – I-GREEN Premium Showroom, bilik pameran kereta yang menawarkan model kereta elektrik (EV) pertama Proton, iaitu Proton e.MAS 7, secara rasmi dilancarkan pada 2 Januari lalu.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) PRO-NET, Zhang Qiang, pembukaan bilik pameran ini merupakan langkah penting dalam strategi PRO-NET untuk memperkenalkan inovasi terkini dalam industri automotif, sambil memberikan pengalaman membeli kereta yang luar biasa kepada para pelanggan.
“Kami berbangga dengan pelancaran I-GREEN Premium Showroom yang tidak hanya menawarkan jualan kenderaan tetapi juga perkhidmatan selepas jualan yang terbaik untuk pelanggan kami.
“Dengan pembukaan I-GREEN Premium Showroom yang serba canggih ini juga, PRO-NET terus menunjukkan komitmen mereka untuk menjadi peneraju dalam industri automotif negara kbususnya dalam era kenderaan elektrik,” ujar beliau pada majlis pelancaran bilik pameran itu baru-baru ini.
Tambah Zhang Qiang, bilik pameran yang dibina dengan pelaburan sebanyak RM3 juta ini dijangka akan mengukuhkan kedudukan I-GREEN dalam pasaran kenderaan elektrik, memandangkan ia bukan sahaja berfungsi sebagai pusat jualan tetapi juga pusat perkhidmatan yang lengkap dengan kemudahan canggih.
“Sebagai sebahagian daripada komitmen mereka untuk menawarkan pengalaman membeli yang lebih baik, I-GREEN Premium Showroom dilengkapi dengan kemudahan servis untuk sehingga 400 kenderaan setiap bulan.
“Ia juga mempunyai ruang servis yang dilengkapi dengan tiga alat pengangkat (hoist) serta pasukan pakar teknikal EV untuk memastikan semua kenderaan pelanggan diselenggara dengan cekap dan profesional,” katanya.
Selain itu, Zhang Qiang berkata, I-GREEN Premium Showroom turut menyediakan port pengecasan DC 60 kV, yang mampu memberi kemudahan pengecasan pantas dan efisien bagi pemilik kereta elektrik.
Sementara itu, pasukan jualan I-Green dengan sokongan berterusan daripada PRO-NET, memberi keyakinan pihaknya akan mencapai sasaran jualan yang ditetapkan.
“Kami yakin dengan dedikasi pasukan dan sokongan rakan strategik kami, Pro Event Works Entertainment, I-GREEN Premium Showroom akan menjadi pusat pilihan utama bagi pelanggan yang mencari kenderaan premium dan inovatif,” kata Pengurus Jualan, Ahmad Faizal.
Dalam usaha untuk memperkenalkan Proton e.MAS 7 EV kepada lebih ramai orang, pihak I-GREEN Premium Showroom turut merancang untuk mengadakan lebih banyak jelajah pameran dan acara di pusat jualan pada tahun ini.
X :@malaysiatribune
Instagram :@malaysiatribune
Threads :@malaysia.tribune
Youtube :Malaysia Tribune
TikTok : Malaysia Tribune
Whatsapp Channel :Malaysia Tribune
Telegram :Malaysia Tribune