Berita Semasa

Pemuda maut rempuh pacuan empat roda di lorong kecemasan

NILAI – Seorang lelaki berusia 21 tahun maut selepas motosikal ditunggangnya merempuh sebuah pacuan empat roda yang berhenti di lorong kecemasan di Kilometer 29.1 Lebuhraya Kajang-Seremban arah selatan, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Abdul Malik Hasim berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 9.40 malam ketika mangsa sedang berkonvoi bersama rakannya menuju ke Senawang.

“Siasatan awal mendapati motosikal jenis Yamaha yang ditunggang mangsa melanggar bahagian belakang kenderaan pacuan empat roda tersebut yang berhenti di lorong kecemasan akibat masalah enjin.

“Pemandu kenderaan berusia 50-an dan anak lelakinya berusia 30-an, yang berada di luar kenderaan, turut dirempuh,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Abdul Malik berkata, rakan mangsa yang menunggang motosikal lain turut terjatuh selepas hilang kawalan ketika cuba mengelak.

“Mangsa mengalami kecederaan parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian manakala rakannya cedera di tangan kiri dan menerima rawatan di Hospital Tuanku Jaafar,” jelasnya.

Menurut Abdul Malik, jenazah mangsa dibawa ke hospital untuk proses bedah siasat sebelum diserahkan kepada keluarga.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik IPD Nilai, Inspektor Rosliza Mohd Ludin di talian 010-4554359 atau tampil ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Facebook :Malaysia Tribune
X :@malaysiatribune
Instagram :@malaysiatribune
Threads :@malaysia.tribune
Youtube :Malaysia Tribune
TikTok : Malaysia Tribune
Whatsapp Channel :Malaysia Tribune
Telegram :Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button