Berita Semasa

KUSKOP, agensi terus sokong usahawan tempatan

KOTA KINABALU – Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) menerusi agensinya seperti Perbadanan Nasional Berhad (PERNAS) akan terus menyokong usahawan tempatan dalam menyumbang kepada ekonomi negara.

Menterinya, Datuk Ewon Benedick berkata, antara sokongan diberi termasuk pembiayaan yang bersesuaian bagi menyokong mereka membina dan memajukan perniagaan.

“KUSKOP dan agensi-agensi seperti PERNAS terus menawarkan perkhidmatan dan pembiayaan yang bersesuaian dan diperlukan usahawan (supaya mereka) dapat menyumbang kepada ekonomi negara seterusnya menyediakan peluang pekerjaan kepada rakyat Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Cabutan Bertuah Robert.T 1994, di Suria Sabah Shopping Mall, di sini hari ini.

Dalam majlis sama, Ewon turut menyampaikan pembiayaan sebanyak RM500,000 kepada jenama cermin mata itu yang diusahakan usahawan tempatan Borneo.

“Saya berharap syarikat ini terus berkembang pesat seperti usahawan-usahawan francais yang lain.

“Melalui pembiayaan ini saya juga berharap ia memberi motivasi dan inspirasi kepada usahawan-usahawan lain di seluruh negara agar turut sama mengambil bahagian dalam sektor keusahawanan,” katanya lagi.

Jenama Robert T 1994 mula bertapak pada 2020 dan bukan sahaja berkembang di Sabah tetapi turut melebarkan sayapnya ke Brunei dan Indonesia.

Beliau seterusnya berkata, strategi PERNAS pada tahun ini adalah untuk mengembangkan lagi peranannya bagi membantu usahawan Sabah dan Sarawak.

“Ini adalah sebahagian daripada Dasar Pandang Ke Timur Dalam Negara di KUSKOP iaitu memperkenalkan skim-skim dan inisiatif-inisiatif baharu khususnya untuk usahawan di Sabah dan Sarawak,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Facebook :Malaysia Tribune
X :@malaysiatribune
Instagram :@malaysiatribune
Threads :@malaysia.tribune
Youtube :Malaysia Tribune
TikTok : Malaysia Tribune
Whatsapp Channel :Malaysia Tribune
Telegram :Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button