Kematian di Konsert Pinkfish, polis akan rakam keterangan dua lagi individu
SUBANG JAYA – Polis akan merakam keterangan dua individu disyaki terlibat berhubung pengambilan pil ekstasy yang menyebabkan kematian empat individu ketika Konsert Pinkfish di Bandar Sunway, baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, kedua-dua individu itu masih menerima rawatan di unit rawatan rapi (ICU) Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dekat sini.
“Mereka kini dalam keadaan stabil namun lemah. Kita akan merekodkan keterangan kedua-dua individu terbabit selepas dibenarkan pihak hospital,” katanya, hari ini.
Laporan media sebelum ini menyebut, polis telah merakam keterangan 15 individu setakat ini bagi membantu siasatan kematian empat individu berkenaan.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan dilaporkan sebagai berkata, ia termasuk keterangan daripada rakan-rakan dan ahli keluarga mangsa.
Dalam kejadian pada malam ambang tahun baharu itu, dua lelaki dan dua wanita tempatan, berusia 20 hingga 40 tahun maut setelah disyaki mengambil pil ekstasi.
Justeru, polis telah membuka empat kertas siasatan bagi mengenal pasti sekiranya wujud unsur jenayah atau keracunan.
Polis turut melakukan siasatan daripada pelbagai sudut termasuk kemungkinan terdapat penjualan pil ekstasi di dalam kawasan penganjuran konsert berkenaan.
X :@malaysiatribune
Instagram :@malaysiatribune
Threads :@malaysia.tribune
Youtube :Malaysia Tribune
TikTok : Malaysia Tribune
Whatsapp Channel :Malaysia Tribune
Telegram :Malaysia Tribune